Ahad, 6 November 2016

Peluang terakhir buat Hatem Souissi

ARKIB : 09/11/1998
KEJOHANAN Piala Kemerdekaan di Sri Lanka, pertengahan bulan ini akan menjadi medan penentuan terakhir sama ada khidmat jurulatih Olimpik 2000, Hatem Souissi akan disambung lagi atau sebaliknya.

Sesudah prestasi buruk Olimpik 2000 pada siri perlawanan persahabatan terpapar di Bangkok, baru-baru ini dan Piala Tiger, FAM ternyata enggan bertolak ansur dengan jurulatih dari Tunisia itu lagi.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, beliau tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak buah Hatem ini tewas begitu teruk 0-9 kepada skuad Sukan Asia Thailand.

''Sebagai penggiat sukan, saya boleh menerima kekalahan kerana ia adat dalam bola sepak tetapi saya kesal atas persembahan buruk itu berdasarkan jumlah gol yang besar membolosi pasukan kita.

''Laporan daripada Hatem memberitahu terdapat peningkatan di kalangan pemain. Namun keputusan yang dicatat sebaliknya,'' kata Tengku Abdullah selepas mesyuarat majlis FAM di Kuala Lumpur, semalam. Beliau ternyata kurang berpuas hati dengan penjelasan Hatem itu malah turut hampa selepas FAM menyerahkan sepenuhnya tugas membentuk skuad Olimpik 2000 ini.

''Semua kita beri. Tumpuan, wang dan kuasa memilih pemain semua terserah kepada Hatem. Tetapi dengan kalah 0-9, ia terlalu sukar untuk diterima lagi,'' tegasnya.

Tengku Abdullah bagaimanapun tidak menetapkan sebarang sasaran tertentu di Sri Lanka itu sebagai cagaran untuk Hatem lunasi sekiranya mahu kekal membimbing skuad remaja negara ini hingga Sukan Olimpik Sydney 2000.

Sementara itu pengurus skuad kebangsaan yang akan dibentuk semula, Raja Datuk Ahmad Zainuddin Raja Omar memberitahu, pemilihan pemainnya bakal dibuat sebaik sahaja berakhirnya Piala Malaysia musim ini.

''Saya jamin tidak akan ada pilih kasih dalam pemilihan pemain skuad kebangsaan ini sekalipun saya dari Perak dan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim dari Terengganu. ''Kita akan mulakan latihan pada bulan puasa ini sehingga Januari untuk menghadapi Piala Dunhill, 1-14 Februari tahun depan,'' kata Raja Ahmad yang juga Naib Presiden FAM.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PF4xdId1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan