ARKIB : 19/11/1998
EPISOD malang berterusan
menimpa skuad bola sepak Olimpik 2000 apabila mengalami dua kekalahan
berturut-turut di Kejohanan Piala Kemerdekaan Sri Lanka yang sedang rancak
berlangsung.
Dua kekalahan 1-3 kepada India
pada perlawanan pertama Ahad lepas dan kelmarin tuan rumah, Sri Lanka pula
mengambil giliran mengaibkan skuad remaja negara 1-2, menutup terus peluang
untuk mengukir kejayaan layak ke final.
Dua kekalahan ini sekali gus
meranapkan impian menggunung jurulatih, Hatem Souissi mahu menebus kehampaan
selepas kecaman hebat ekoran persembahan buruk anak buahnya dalam tiga aksi
perlawanan persahabatan menentang Thailand baru-baru ini.
Hatem mengharapkan pujian untuk
pemainnya kerana mempamerkan peningkatan disebalik kenyataan 18 gol dibolosi
apabila mereka dibelasah 0-9, 1-5 dan 2-4 oleh lawan di Thailand.
Apa lagi alasan yang seharusnya
difikirkan oleh Hatem buat mempertahankan dirinya dengan kegagalan terbaru
skuad Olimpik 2000 negara di Sri Lanka.
Berdepan dengan India dan Sri
Lanka, bukan salah satu kuasa mutlak bola sepak di rantau Asia berbanding
dengan persiapan rapi anak buah Hatem, menjelaskan ada sesuatu yang tidak kena
kepada skuad Olimpik negara.
Kekakalahan itu terus
menimbulkan kesangsian keupayaan sebenar skuad negara yang akan mengharungi
pusingan kelayakan Olimpik 2000, Jun tahun depan bersama-sama Jepun, Nepal dan
Hong Kong.
Tanpa sebarang kejayaan manis
yang dirintis oleh jurulatih berasal dari Tunisia itu sejak mengemudi skuad ini
tiga tahun lalu, FAM tidak lagi seharusnya berselindung dengan hakikat kelompok
pemain kini sudah melupakan matlamat asal penubuhan skuad ini untuk melayakkan
diri ke Sukan Olimpik 2000 di Sydney.
Kehadiran empat pemain yang
menimba pengalaman sebulan bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal terdiri
daripada Tengku Hazman Raja Hassan, Das Gregory, R. Nanthakumar dan Hairuddin
Omar juga tidak mampu menceriakan skuad negara.
Sebelum ini, Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) menerusi Timbalan Presidennya memberi amaran kepada Hatem
untuk menghasilkan keputusan terbaik di Sri Lanka jika tidak mahu kedudukannya
sebagai jurulatih terancam.
Malah FAM juga akan mengkaji
semula kedudukan Hatem selaku jurulatih skuad Olimpik sejak memegang jawatan
itu tiga tahun lalu selepas kejohanan ini.
Penolong jurulatih B.
Sathianathan ketika dihubungi di Sri Lanka semalam ketika diminta mengulas
mengenai dua kekalahan itu berkata: ''Kealpaan benteng pertahanan menjadi punca
kita tewas dalam dua perlawanan itu.''
Tambah Sathianathan lagi, dalam
dua perlawanan menentang India dan Sri Lanka, pemain negara menguasai babak dan
mencipta gol awal mendahului lawan.
Pemain pertahanan, Rauf Ahmad
membuka tirai jaringan ketika menentang India dan Chow Chee Weng pula bertemu
Sri Lanka, tetapi benteng pertahanan yang dikemudi oleh S. Jayaprakash, M.
Gopalan, Yuzaiman Zahari, Fazialah Mamat dan Nik Ahmad Fadly Nik Leh rapuh
membolehkan lawan mencipta jaringan mudah.
''Semua gol yang dicipta oleh
lawan jelas adalah hasil kesilapan sendiri. Mereka sebenarnya berusaha untuk
menang namun segalanya tidak menjadi.''
Jelas Sathianathan lagi,
jentera serangan yang dikemudi oleh Chee Weng dan Jaafar Salleh juga jelas
tumpul.
Hari ini skuad Hatem akan mengharungi
perlawanan terakhir menentang Maldives buat melengkapkan jadual yang sudah
diatur.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PV7IJnJU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan