Rabu, 9 November 2016

Hafizul tidak gentar hadapi persaingan sengit dua Khairul

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  09 November 2016 12:08 AM
 Penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizul Hakim sewaktu sesi latihan
Penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizul Hakim sewaktu sesi latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam. UTUSAN/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR 8 Nov. – Walaupun diapit dua penjaga gol kebangsaan yang berpengalaman namun situasi itu tidak membuatkan Muhammad Hafizul Hakim berasa dirinya kerdil sebaliknya dia cuba untuk memberi tentangan sengit dalam usaha memikat Datuk Ong Kim Swee meletakkannya ke dalam kesebelasan utama apabila kempen bola sepak Piala AFF bermula di Myanmar pada 20 November nanti.
Hafizul perlu bersaing dengan dua penjaga gol handalan negara iaitu Khairul Fahmi Che Mat serta Khairul Azhan Khalid dan dia sedar bukan mudah untuk dirinya me­ngatasi mereka kerana mengetahui pengalaman menjadi penghalang utama.
“Saya belum pernah membuat penampilan bersama skuad kebangsaan. Kali pertama saya dipanggil menyertai Harimau Malaysia ketika menentang Indonesia (Ogos) dan kali kedua ketika bertemu Singapura dan Afghanistan (September). Jadi ini kali ketiga saya menyertai skuad kebangsaan.
“Kalau nak kata berasa diri saya kerdil... itu tiada dalam fikiran saya cuma saya menerima persaingan sengit sebab kalau nak dibandingkan saya dengan mereka sudah pasti mereka lebih berpengalaman. Bagaimanapun dapat berdamping bersama mereka pun sudah memberi motivasi kepada saya sebab dapat belajar dan bersaing,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hafizul yang menjadikan penjaga gol England, Joe Hart sebagai idolanya berkata walaupun terpaksa bersaing namun ke­dua-dua pencabarnya tidak lokek untuk berkongsi ilmu de­ngannya malah turut menegur jika pemain berusia 23 tahun itu melakukan kesilapan sewaktu berlatih.
“Khairul Fahmi dan Khairul Azhan sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya ketika sesi latihan. Banyak ilmu yang dikongsikan antaranya dari segi taktikal serta kekal bertenang ketika ber­aksi,” katanya lagi.
Sementara itu, penjaga gol Selangor, Khairul Azhan berkata dia tidak pernah memandang rendah kepada kemampuan Hafizul walaupun menyedari pencabarnya itu belum pernah membuat penampilan bersama skuad kebangsaan malah mahu memberi saingan secara sihat.
“Kedua-dua penjaga gol saya hormat. Kami bersaing secara sihat,” kata Azhan yang menyambut hari jadi ke-27 semalam.

-SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hafizul-tidak-gentar-hadapi-persaingan-sengit-dua-khairul-1.405244#sthash.mTjuT9fq.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan