Rabu, 9 November 2016

Enam pemain Olimpik 2000 beraksi dengan kelab England

ARKIB : 24/11/1998
KETIKA jurulatih Hatem Souissi terus menerima kecaman hebat ekoran kegagalan di Piala Kemerdekaan Sri Lanka, enam lagi pemainnya pula mendapat pendedahan beraksi dengan dua kelab Divisyen Satu England, lapor AMRAN MULUP.

Enam pemain yang akan berlepas ke England hari ini akan menimba pengalaman selama sebulan beraksi dengan Charlton dan Crystal Palace.

Mereka yang terpilih ialah M. Gopalan, Chow Chee Weng, S. Jayaprakash, Syawal Johadi, Nik Ahmad Fadly Nik Leh dan Haled Masrom.

Ini adalah kumpulan kedua tonggak muda Olimpik 2000 menimba pengalaman di England buat memantapkan skuad yang kini kian tertekan ekoran kegagalan demi kegagalan dialami.

Sebelum ini empat pemain Tengku Hazman Raja Hassan, Das Gregory, R. Nanthakumar dan Hairuddin Omar menimba pengalaman di Highbury bersama kelab Liga Perdana England, Arsenal.

Menurut penolong jurulatih B. Sathianathan, bagaimanapun pemain belum dimaklumkan untuk bermain sama ada dengan Charlton ataupun Palace.

''Pemain akan mendapat pendedahan sebagaimana yang diperoleh oleh empat pemain yang terdahulu bermain di Arsenal. Mereka dijangka pulang pada 23 Disember ini,'' ujar Sathianathan.

Sementara itu M. Gopalan ketika ditemui melahirkan rasa gembira dengan peluang yang diberikan menimba pengalaman beraksi di kelab Inggeris.

''Saya akan gunakan peluang ini untuk mempelajari dari segi teknik mau pun taktik untuk mempertingkatkan kemampuan saya.

''Ketika ini Olimpik dikecam hebat dan kalau boleh sekembalinya nanti saya mahu membantu menaikkan semula maruah pasukan,'' katanya.

Pendapatnya turut dikongsi bersama rakan sepasukan tonggak pertahanan, S. Jayaprakash yang mengangggap peluang ini adalah yang terbaik buatnya memantapkan corak permainannya.

''Saya tahu tempoh sebulan memang tidak memadai untuk melengkapkan diri tetapi sekurang-kurangnya dapat juga saya mempelajari corak permainan profesional sebenarnya,'' jelas Jayaprakash.

Buat penyerang lincah, Chow Chee Weng peluang menimba pengalaman dengan kelab Inggeris untuk memperbaiki corak permainannya selaku penyerang.

''Sesuatu yang cuba saya pelajari ialah untuk mengetahui teknik selaku penyerang bagi menyelesaikan kebuntuan jaringan gol yang sering kali dihadapi oleh skuad Olimpik,'' kata pemain itu yang turut beraksi di Piala Kemerdekaan di Sri Lanka baru-baru ini.

Sementara itu, Haled Masrom menyifatkan peluang beraksi di England akan dapat memantapkan corak permainannya dengan pendedahan itu.

Sewaktu di Piala Kemerdekaan Sri Lanka, skuad Olimpik tewas ke semua perlawanan kepada India 3-1, Sri Lanka dan Maldives dengan keputusan 2-1.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PVzyCD5w © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan