Rabu, 9 November 2016

Kemasukan percuma buat penyokong

Perlawanan di Stadium Shah Alam kemasukan percuma pada 14 November. FOTO FAM
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
  
Kuala Lumpur: Sebagai menghargai sokongan penyokong setia Harimau Malaysia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk tidak mengenakan sebarang tiket bagi aksi persahabatan antarabangsa skuad kebangsaan dengan Papua New Guinea di Stadium Shah Alam 14 November ini jam 3 petang.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berharap, dengan kemasukan percuma itu, ramai penyokong akan hadir memberikan sokongan kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang kini dalam persiapan terakhir menghadapi kempen Piala AFF, Yangon Myanmar.


“Mengikut ketetapan, tiket bagi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” membabitkan skuad kebangsaan adalah berharga RM30 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

“Tapi sebagai penghargaan kepada para penyokong untuk tahun 2016 dan pada masa sama perlawanan menentang Papua New Guinea ini juga adalah perlawanan terakhir skuad Harimau Malaysia sebelum beraksi pada Piala Suzuki AFF 2016, pihak FAM bersetuju untuk penyokong masuk percuma ke perlawanan pada Isnin ini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Perlawanan menentang Papua New Guinea adalah perlawanan kelima di laman sendiri buat skuad Harimau Malaysia bagi tahun 2016 selepas aksi persahabatan bertemu Macau di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 28 Mac, dua aksi Play-off Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor-Leste di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 6 Jun serta aksi persahabatan bertemu Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober lalu.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 5:08 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan