Khamis, 3 November 2016

Hadin fokus rebut tempat ke AFF Suzuki

RABU, 2 NOVEMBER 2016 @ 9:45 PM
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaian@bh.com.my
 
DARI kiri ; Ahmad Fakri Saarani, Safee Sali, Hadin Azman dan Zaquan Adha ketika menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya menjelang Piala Suzuki AFF. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pemain tengah Harimau Malaysia, Muhammad Hadin Azman meletakkan harapan tinggi untuk mencapai impiannya beraksi buat kali pertama di Piala AFF Suzuki. Sambil mengakui berdepan saingan sengit untuk merebut tempat dengan pemain lebih senior, Hadin bagaimanapun tekad menunjukkan kemampuannya bagi memikat hati jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

     "Ketika 2010 (Malaysia juara Piala AFF Suzuki), saya masih belajar lagi dan tidak fikir pun pasal bola. Selepas berada dalam skuad Harimau Muda barulah saya mula terfikir untuk beraksi di peringkat lebih tinggi termasuk Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki.

     "Untuk beraksi di Sukan SEA sudah tidak boleh, jadi tahun ini memang sasaran saya nak bermain di Piala AFF Suzuki dan akan cuba yang terbaik untuk dikekalkan dalam skuad ke Myanmar nanti.

"Persaingan (merebut tempat) memang sengit sebab ramai lagi pemain senior yang berpengalaman. Saya baru lagi, masih banyak yang perlu saya belajar dari mereka," katanya yang meledak gol penyamaan negara ketika berdepan Afghanistan, 11 Oktober lalu.

Seramai 26 pemain menyertai kem latihan pusat kali ini dan Kim Swee hanya akan membawa 23 pemain ke Myanmar untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki. Harimau Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan B, Piala AFF Suzuki di Yangon berdepan Kemboja pada 20 November ini sebelum menentang Vietnam (23 November) dan tuan rumah, Myanmar (26 November).

Mengulas mengenai perkembangannya bersama Harimau Malaysia, Hadin mengakui masih belum menemui keserasian terbaik bersama pemain lain dan berharap ia akan menjadi lebih baik selepas kembali dari Kem Bina Semangat di Port Dickson, Jumaat ini.

"Nak kata keserasian sudah berada pada tahap terbaik belum lagi, sebab ada pemain yang baru melaporkan diri dan saya sendiri pun sedang berusaha memperbaiki kelemahan yang ada. "Soal kedudukan saya (dalam skuad kebangsaan) belum 100 peratus selamat walaupun menjaringkan gol ketika berdepan Afghanistan. Mungkin tuah saya dapat menjaringkan gol itu dan saya masih perlu bekerja keras," katanya. Fakta Nombor 2012 - tahun Hadin menyertai Harimau Muda 2 - kali penampilan Hadin bersama Harimau Malaysia


SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/208696

Tiada ulasan:

Catat Ulasan