JUMAAT, 4 NOVEMBER 2016 @ 12:42
AM
SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd Amin bersama Kim Swee menyaksikan sesi latihan Kem Bina Semangat
skuad Harimau Malaysia menjelang Piala Suzuki AFF 2016 di Port Dickson, Negeri
Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PORT DICKSON: Gambaran awal
kesebelasan utama skuad Harimau Malaysia ke Piala AFF di Yangon, Myanmar, bakal
ditampilkan dalam perlawanan antarabangsa 'A' bertemu Papua New Guinea, pada 14
November nanti. Pengendali skuad negara, Datuk Ong Kim Swee berkata kesebelasan
yang diturunkan menentang pasukan ranking ke-159 dunia itu di Stadium Shah Alam
nanti, berkemungkinan juga akan diturunkan bagi menghadapi Kemboja dalam
saingan Kumpulan B Piala AFF pada 20 November.
"Kita tahu Kemboja menang
tiga perlawanan pusingan kelayakan yang pastinya memberi mereka kelebihan dari
segi pendedahan serta keyakinan yang tinggi.
"Jadi, kita harus berada
pada tahap yang baik sebelum bermain menentang Kemboja dalam perlawanan pertama
kerana ia penting untuk kita dapatkan kemenangan," katanya kepada
pemberita ketika sesi latihan di Kem Bina Semangat di sini hari ini. Kem tiga
hari yang akan berakhir esok membabitkan 26 pemain skuad Harimau Malaysia. Di
Yangon, Harimau Malaysia akan membuka tirai saingan Kumpulan B berdepan Kemboja
pada 20 November sebelum menentang Vietnam (23 November) dan tuan rumah (26
November).
Mengenai kem bina semangat itu,
Kim Swee berkata ia berjalan dengan baik dengan kesemua pemain mengambil
bahagian dengan serius. "Ia mencapai tujuan kita... saya harap kita akan
bina dari sini dengan lebih baik apabila kembali ke Kuala Lumpur nanti.
"Semua aktiviti
membabitkan kerjasama berpasukan dan mereka saling membantu antara satu sama
lain dan ini penting sebelum kita bermain," katanya.
Sementara itu, penyerang
Selangor, Ahmad Hazwan Bakri sedia berganding dengan mana-mana pemain sama ada
Safee Sali atau Amri Yahyah jika itu pilihan jurulatih pada kejohanan Piala AFF
kali ini.
"Saya tiada masalah
berganding dengan mana-mana penyerang seperti Safee atau Amri yang lebih
berpengalaman kerana saya juga perlukan tunjuk ajar serta berkongsi pengalaman
mereka. "Menerusi latihan bersama ini, saya dapat rasakan banyak perubahan
dalam persembahan saya dan yakin dapat memberikan aksi yang baik,"
katanya.
Beliau yang kali kedua mewakili
negara di peringkat antarabangsa mengakui tugas sebagai penyerang bukanlah
mudah dan perlu bekerja keras bagi mempamerkan aksi cemerlang. "Apapun, ia
menjadi tanggungjawab pasukan ini untuk memburu kemenangan di Piala AFF agar
kejuaraan menjadi milik Malaysia. Pada saya sebagai satu pasukan, semua pemain
mempunyai tanggungjawab memikul tugas sehingga ke akhir kejohanan,"
katanya. - BERNAMA
SUMBER-Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/209119
Tiada ulasan:
Catat Ulasan