Jumaat, 31 Mac 2017

Malaysia ke akhir



ARKIB : 08/06/2003

MALAYSIA memenuhi harapan peminat apabila mempamerkan permainan bertenaga untuk menundukkan Afrika Selatan 4-2 pada separuh akhir Bowl kejohanan Futsal KL World 5s di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Mohd. Feroz Ab. Karnim membantu kemenangan berharga skuad negara dengan menjaringkan dua gol, pada minit ke-6 dan ke-21. Dua lagi gol diperoleh menerusi percubaan Chiew Chun Yong (minit 18) dan Mohammad Faizul Abdul Ghaffar (minit 27).

Afrika Selatan membalas ketika perlawanan berbaki tiga minit menerusi percubaan Stanley Msiza (minit 37) dan Charldon Steven (minit 38.

Malaysia akan bertemu Indonesia dalam perlawanan akhir hari ini. Indonesia mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan England dalam satu lagi saingan separuh akhir kelmarin.

Skuad negara menunjukkan peningkatan berbanding aksi ketika kalah 5-2 kepada Guatemala kelmarin, dengan menguasai perlawanan sejak sepak mula.

Kesungguhan untuk mencipta kemenangan, dengan dibantu oleh sorakan peniup semangat para penyokong tempatan berhasil untuk menyaksikan skuad negara mendahului 2-0 pada babak pertama.

Lawan juga ghairah untuk mencari kemenangan tetapi di sebalik persembahan menarik skuad negara.

Wakil tunggal Afrika itu bertambah malang apabila gagal menyempurnakan setiap peluang yang terhidang pada separuh masa pertama.

Selepas mendahului 4-0, skuad negara beraksi agak lewa sehingga membenarkan Afrika Selatan merapatkan jurang menerusi jaringan dua gol. Wisel penamat menyelamatkan skuad negara daripada asakan bertali arus Afrika Selatan.

``Inilah kemenangan berharga dan pemain-pemain telah menunjukkan peningkatan.

``Tetapi mereka sepatutnya tidak kehilangan tumpuan,'' kata jurulatih negara, Silvio Machado selepas perlawanan.

Machado merujuk kepada kesilapan pemain skuad negara yang dilakukan pada minit-minit terakhir permainan sehingga memberi ruang kepada pihak lawan memperoleh dua gol.

``Saya gembira kerana prestasi pasukan ini meningkat pada setiap perlawanan tetapi masih banyak ruang untuk diperbaiki.

``Tumpuan kini ialah terhadap perlawanan dengan Indonesia. Kami yakin untuk memenangi Bowl.

``Bagaimanapun kami tidak boleh hilang tumpuan dan melakukan kesilapan.''

Machado dan skuadnya terpaksa membayar harga tinggi untuk kemenangan semalam apabila Mohamad Faris Ahmad digantung permainan setelah menerima kad kuning kedua.

Tempatnya diganti Zaidi Ramli untuk menjaga gawang.

``Saya akan melihat sama ada pemain lain dalam skuad ini mampu bertindak selaku penjaga gol gantian jika keadaan mendesak,'' jelasnya.

Jurulatih dari Brazil itu yakin Indonesia akan memberikan saingan sengit dalam perlawanan hari ini.

``Saya belum melihat Indonesia bermain tetapi saya menjangkakan mereka akan memberikan aksi terbaik. Ia sudah pasti bukan perlawanan mudah tetapi kita akan menang jika segalanya mengikut perancangan,'' kata Machado.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cyaoQNzq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia kempunan, Guatemala ke separuh akhir



ARKIB : 06/06/2003

MALAYSIA gagal merebut tempat ke separuh akhir Plate kejohanan Futsal KL World 5s manakala Argentina menjadi pasukan terakhir layak ke saingan tersebut selepas menewaskan Jepun 5-1 dalam kumpulan B, di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Sedangkan pasukan negara dihampakan skuad Guatemala yang mencipta kemenangan 5-2 dalam kumpulan D.

Argentina walaupun menang, diberi tentangan sengit oleh naib juara Asia, Jepun yang menggunakan taktik permainan pantas berbanding skuad Amerika Selatan itu yang jelas lebih hebat dari segi kemahiran mengawal bola.

Begitu pun, Argentina masih mampu menyumbat tiga gol sebelum babak pertama berakhir menerusi Esteban Gonzalez pada minit pertama dan minit ke-17 serta menerusi Marcelo Gimenez pada minit ke-12.

Jepun membalas menerusi percubaan tepat Watanabe Junichi (minit ke-14), yang merupakan gol tunggal mereka pada perlawanan itu.

Babak kedua berlangsung lebih menarik dengan Jepun berusaha keras untuk mencipta peluang tetapi pengalaman Argentina menyaksikan mereka menambah dua lagi gol menerusi Gustavo Barbona pada minit ke-26 dan ketua pasukan, Carlos Sanchez minit ke-27. Kemenangan itu meletakkan Argentina selaku juara Kumpulan B dan akan bertemu juara Kumpulan D, Iran pada separuh akhir Piala esok.

Jepun pula selaku naib juara Kumpulan B akan bertemu Uzbekistan dalam separuh akhir Plate hari ini.

Uzbekistan muncul naib juara Kumpulan D setelah menumpaskan England 10-2 sambil menyaksikan bekas pemain Pahang, Abduraimov Azamat yang turut bertindak selaku jurulatih menjaringkan empat gol (minit ke-8, 9, 13 dan 38). Uzbekistan mendahului 5-0 pada babak pertama.

Uzbekistan menambah enam lagi gol menerusi Ahmedov Bahodir (minit ke-12, 12 dan 33), Nigmatzyanov (minit ke-32) dan Nurmatov Nigman (minit ke-35 dan 36). England membalas menerusi Mark Simmons (minit ke-25) dan Michael Corran (minit ke-38).

England di tempat ketiga Kumpulan D akan bertemu Indonesia dalam separuh akhir Plate hari ini.

Juara ASEAN, Thailand pula akan beraksi dalam separuh akhir Plate selepas menundukkan wakil benua Afrika, Afrika Selatan 6-2 dalam aksi Kumpulan A.

Gol-gol Thailand diperoleh menerusi Anucha Manjareen (minit ke-9), Nares Sukngam (minit ke-14), Anupong Polsak (minit ke-14, 15 dan penalti minit ke-19) serta Yutthana Polsak (minit ke-32). Afrika Selatan memperoleh gol melalui percubaan Enver Wilter (minit ke-17) dan Charldon Stevens (minit ke-33).

Kemenangan itu melayakkan Thailand bertemu naib juara Kumpulan C, Guatemala yang menundukkan Malaysia 5-2 pada perlawanan terakhir masing-masing dalam Kumpulan C.

Skuad negara, yang menunjukkan permainan bersemangat bagaimana pun kelihatan kurang tenang seperti ketika memberikan saingan sengit kepada Uruguay ketika kalah 5-3 pada Isnin lepas.

Mungkin tertekan dengan sorakan kira-kira 3,000 penonton, permainan skuad negara kurang kemas pada babak pertama sehingga menyaksikan Guatemala dengan mudah menembusi kawalan anak-anak buah Silvio Machado yang menggantikan penjaga gol utama negara, Zaid Ramli dengan Mohamad Faris pada babak kedua.

Gerakan serba tidak kena mereka me-nyaksikan Guatemala menguasai permainan babak pertama untuk mendahului 4-0 menerusi jaringan Estuardo Juarez (minit ke-7), Edy Rivera (minit ke-11), Walter Granados (minit ke-14) dan Marlon Noj (minit ke-16).

Jaringan pertama skuad negara dijaringkan oleh Zainodin Kasmidim pada ke-28 tetapi kemudian melepaskan peluang untuk menambah gol setelah sepakan penaltinya seminit kemudian melambung tinggi.

Addie Azwan Zainal mengembalikan semangat para penyokong negara apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-31 setelah menggelecek penjaga gol lawan, Carlos Merida sebelum menyepak ke gawang tidak berpenghuni.

Tetapi, jaringan itu sudah terlalu lewat untuk Malaysia meneruskan kebangkitan, tetapi boleh berpuas hati dengan semangat dan permainan bersungguh-sungguh yang telah mereka tunjukkan.

Malah, serangan balas Guatemala sempat menambah gol kelimanya pada minit ke-33 menerusi Juarez.

Malaysia, yang menamatkan persaingan dalam Kumpulan C tanpa mengutip mata akan bertemu Afrika Selatan esok.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cy05Ojy1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia tewas, Brazil berpesta



ARKIB : 04/06/2003

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
 
PEMAIN Malaysia, Jamhuri Zainuddin cuba melepasi halangan pemain Uruguay, Martin Hernandez pada aksi Futsal Dunia 5S di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam. - Gambar ASWAD YAHYA.

JUARA dunia tiga kali, Brazil mempersembahkan gaya permainan tipikal mereka untuk memukau kira-kira 3,000 penonton ketika membelasah Afrika Selatan 30-0 pada hari pembukaan kejohanan Futsal KL World 5s di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Di sebalik persembahan hebat pasukan dari Amerika Selatan itu, Malaysia selaku tuan rumah pula menunjukkan persembahan bersemangat walaupun tunduk 5-3 kepada Uruguay dalam Kumpulan C.

Kemenangan Brazil itu sekali gus mengesahkan tempat naib juara dunia 2002 itu pada suku akhir, yang akan bermula Jumaat ini bersama-sama Iran, Jepun dan Uruguay yang turut mencipta kemenangan sulung masing-masing semalam.

Perlawanan Brazil-Afrika Selatan dalam Kumpulan A itu menyaksikan Brazil seperti membawa sebuah kumpulan tarian apabila mereka hanya memerlukan kurang seminit untuk memperoleh gol pertama menerusi Rodrigo Lima Nicolau yang turut menjadi penjaring terbanyak dengan menambah enam lagi gol ketika Brazil sudah menang seawal babak pertama apabila mendahului 18-0.

Pablo De A. Ribeiro dan Leandra Goncalves masing-masing menjaringkan empat gol, Fabiano Assad (tiga), Dovenir Domingues Neto (tiga), Gabriel da Silva (tiga) dan Sergio Luiz Lucas, Marcel Ribeiro serta Arceni Junior Barboza masing-masing dua gol.

Jurulatih Brazil, Fernando Coelho Ferreti yang tidak menyangka pasukannya akan mencatatkan kemenangan begitu besar.

``Kami menghormati setiap pasukan dan kami hanya mahu mencipta kemenangan,'' kata Ferreti.

Brazil kini mendahului kumpulannya dan akan bertemu juara Asia Tenggara, Thailand hari ini.

Sementara itu dalam Kumpulan C, Malaysia menunjukkan persembahan bertenaga dengan aksi terbang penjaga golnya, Mohamad Faris yang mendapat tepukan gemuruh setelah membuat banyak gerakan menyelamat termasuk menghalang dua sepakan penalti Ñ masing-masing oleh Andres D. Alessandro dan Pablo Lammana.

Tetapi pengalaman Uruguay jelas menjadi pemisah antara mereka.

Uruguay memperoleh gol pertama menerusi Nelson Gil tidak lama selepas sepak mula tetapi Addie Azwan Zainal menyamakan kedudukan 1-1.

Selepas itu, perlawanan bertambah sengit dan Malaysia lebih banyak menyerang tetapi kekurangan pengalaman menyaksikan mereka terperangkap kepada serangan balas pantas Uruguay yang menambah gol kedua menerusi Pablo Lamana.

Usaha keras anak-anak buah jurulatih dari Brazil, Silvio Machado membuahkan hasil apabila rembatan jarak jauh Arasan Joseph melepasi kawalan penjaga gol lawan, Gianni Barros hanya untuk menyaksikan pasukan dari Amerika Selatan itu menambah tiga lagi gol tidak lama kemudian menerusi Nelson Gil dan ketua pasukan, Walter Skurko yang menyumbat dua gol.

Usaha yang tidak mengenal lelah menyaksikan skuad negara memanfaatkan peluang pada minit-minit terakhir menerusi Addie Azwan untuk gol ketiga.

Malaysia berpeluang ke suku akhir tetapi perlu menumpaskan Guatemala terlebih dulu dalam perlawanan keduanya esok.

Juara Asia, Iran pula terbukti masih unggul sebagai pasukan terkuat rantau ini apabila menundukkan Uzbekistan 7-1 dalam perlawanan pembukaan untuk muncul pasukan pertama mara ke suku akhir.

Iran mendahului 6-0 pada babak pertama menerusi jaringan Ali Sanei Arani (minit ke-3, 5), Kazem Mohammadi Tirabadi (ke-12, 16), Hamid Shandizi (ke-14) dan Moitaba Moeeini (ke-15).

Selepas menambah satu lagi gol menerusi Siamak Dadashi pada minit ke-21, Iran memperlahankan rentak untuk memberi ruang buat Uzbekistan menjaringkan gol tunggalnya hasil percubaan Kudratov Furkat pada minit ke-22.

Kemenangan itu membolehkan Iran mendahului Kumpulan D sebagai bekalan semangat apabila menghadapi wakil tunggal Eropah, England hari ini.

Pengurus pasukan Iran, Mohammad Sagdeh yang begitu gembira dengan kemenangan itu menyifatkan faktor kemenangan pasukannya kerana pemain-pemain menurut arahan yang diberikan.

``Rancangan kami ialah untuk menjaringkan banyak gol pada babak pertama, dan kami melakukannya dengan memperoleh enam gol,'' kata Sadegh.

``Selepas itu, kami hanya perlu memegang bola tetapi kami masih berupaya menambah satu gol. Ini ialah satu permulaan yang bagus kerana perlawanan ini akan menentukan sama ada kami berupaya mara ke suku akhir atau tidak.'' Sementara itu, Jepun turut mengutip tiga mata pertamanya selepas menumpaskan satu lagi pasukan Asia, Indonesia 9-1 dalam Kumpulan B.

Gol-gol negara Matahari Terbit itu diperoleh menerusi Fuji Kenta (minit ke-3, 30), Kanama Yuki (ke-6, 18), Sagane Kiyoshi (minit ke-11), Suzumura Takuya (ke-19), Watanabe Junichi (ke-24, 26) dan Maeda Yoshifumi (ke-34). Indonesia hanya mampu menunjuk garang seawal permainan apabila mendahului 1-0 menerusi jaringan Achmad Ramdhani pada minit ke-2.

MALAYSIA: Zaidi Ramli, Jamhuri Zainuddin, Mohammad Faizol, Mohamad Feroz, Zainodin Kasmidim

URUGUAY: Gianni Barros, Andres D' Allessandro, Martin Hernandez, Alvaro Pineiro, Walter Skurko

KEPUTUSAN

Iran 7 Uzbekistan 1

Jepun 9 Indonesia 1

Brazil 30 Afrika Selatan 0

Malaysia 3 Uruguay 5

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cxuoAfWQ
© Utusan Melayu (M) Bhd