Jumaat, 11 November 2016

Nazzab gembira dipanggil

ARKIB : 19/01/1999
PEMAIN tengah Selangor, Nazzab Hidzan bersedia menyahut cabaran negara dan berjanji akan memberikan komitmen paling tinggi apabila menjalani latihan pertama pemilihan skuad bola sepak kebangsaan, Khamis ini, lapor JOHARI SHAWAL.

Katanya, pemilihannya untuk berlatih bersama skuad negara dipandang sebagai satu kesempatan yang sukar diperoleh dan dia kini tidak sabar untuk turun menjalani latihan.

Malah, pemain berumur 24 tahun dari Klang itu mempunyai misi mulia, membantu rakan-rakan lain bersama-sama mengembalikan maruah bola sepak Malaysia yang lama tercemar.

''Saya memang lama bercita-cita untuk menyarung jersi kebangsaan selepas gagal ketika skuad negara di bawah jurulatih Wan Jamak (Wan Hassan).

''Kali ini saya tidak mahu melepaskan lagi peluang ini dan saya akan bersungguh-sungguh memberikan komitmen kepada pasukan.

''Saya sedih memandangkan bola sepak kita sekarang menjadi bahan kritikan dan kesempatan mewakili pasukan negara boleh digunakan untuk membantu mengembalikan maruah kita,'' kata Nazzab ketika dihubungi, semalam.

Pemilihan Nazzab, yang telah menabur khidmat bersama Selangor sejak empat tahun lalu, dalam skuad kebangsaan kali ini adalah yang kedua selepas skuad pimpinan Wan Jamak pada Pra-Piala Dunia, dua tahun lalu.

Bagaimanapun pemain tengah Red Giants yang berskil tinggi, kawalan bola yang baik, hantaran-hantaran tepat dan sentiasa tenang di dalam padang dan gemar bermain secara menyerang - antara ciri yang diperlukan sebagai pemain tengah - digugurkan sebelum kejohanan bermula.

''Inilah peluang untuk saya menebus kecewa tidak dapat bersama skuad kebangsaan pada ketika itu,'' kata Nazzab yang memberitahu dia dimaklumkan diperlukan untuk menjalani latihan bersama skuad negara oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), minggu lalu.

Pasukan negara yang dibimbing oleh bekas jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim kini mempunyai 19 pemain yang baru beraksi dalam tiga perlawanan di Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Sebelum itu, skuad pelatih negara dianggotai 27 pemain tetapi lapan digugurkan, bagaimanapun Abdul Rahman akan memanggil semula semua pemain itu untuk latihan pemilihan ke Piala Dunhill di Vietnam, hujung bulan ini.

Sebelum ke UAE, Abdul Rahman memberitahu beliau mahu menguji Nazzab di posisi tengah selain beberapa pemain baru selepas pulang dari UAE.

''Saya berterima kasih kepada jurulatih Abdul Rahman kerana memberi kepercayaan kepada saya,'' kata Nazzab.

Nazzab mula dikenali di Selangor pada 1997 selepas jurulatih Merah Kuning ketika itu, Steve Wicks menyerapkannya dalam skuad Liga Perdana dan Piala Malaysia yang menjuarai piala berprestij itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PiVA1eLx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan