Jumaat, 11 November 2016

Abdul Rahman lega tiada pemain cedera

ARKIB : 19/01/1999
JURULATIH Abdul Rahman Ibrahim melahirkan rasa lega kerana semua pemain skuad bola sepak negara yang dibimbingnya, bebas daripada sebarang kecederaan setelah mengharungi tiga perlawanan persahabatan getir di Amiriah Arab Bersatu (UAE), minggu lalu, lapor JOHARI SHAWAL.

''Saya khuatir anak-anak buah saya mengalami kecederaan di UAE kerana kecederaan boleh mengganggu perancangan saya ke atas pasukan ini.

''Tetapi Alhamdulillah, semua pemain tidak ditimpa kecederaan serius, cuma cedera ringan sahaja,'' katanya.

Abdul Rahman sebelum ini khuatir pemain akan ditimpa kecederaan yang mampu menjejaskan persiapan skuad negara menjelang pertandingan Piala Dunhill di Vietnam, hujung bulan ini.

Kebimbangan jurulatih itu atas alasan ketiadaan masa baginya untuk memilih pemain baru bagi menggantikan mereka yang cedera.

''Walaupun kita akan panggil mereka yang digugurkan sebelum ke Dubai, kita tiada pemain lain yang perlu digantikan jika sebarang kecelakaan berlaku kepada pemain kita,'' kata Abdul Rahman ketika dihubungi di Terengganu, semalam.

Menurut jurulatih itu, walaupun pemain dan pasukan harus mengambil risiko kecederaan semasa beraksi, beliau cuma berharap ia bukan berlaku buat masa ini.

''Piala Dunhill adalah tugas pertama kita dan saya mahu turunkan barisan pemain yang benar-benar cergas dan bebas daripada kecederaan,'' ujarnya.

Pasukan negara mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan dua kelab ternama di UAE dan satu dari Latvia.

Malaysia tewas 2-0 kepada kelab Latvia, Ventspils FC pada perlawanan ujian pertama tetapi menang ke atas kelab terkuat UAE, Al Ahli 4-3 dan Al Shabab 1-0.

Perlawanan persahabatan itu adalah antara persiapan skuad negara untuk Piala Dunhill yang bermula 29 Januari ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama Singapura, Korea Selatan dan Rusia.

Skuad negara akan menentang juara Piala Tiger, Singapura pada perlawanan pertama pada 30 Januari dan pasukan Olimpik Korea Selatan pada 1 Februari sebelum menentang Rusia pada 3 Februari.


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PiRWKpOu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan