Selasa, 8 November 2016

Kim Swee tidak risau

ZAZALI JAMIAN  |  07 November 2016 12:05 AM
PETALING JAYA 6 Nov. - Ketua jurulatih skuad negara Datuk Ong Kim Swee tidak bimbang walaupun hanya mempunyai dua pemain untuk dipilih bagi mengisi posisi pertahanan kiri Harimau Malaysia yang kini membuat persiapan fasa akhir menjelang Piala AFF 2016.
Kim Swee tidak mempunyai banyak pilihan pemain di posisi itu untuk dinilai ketika ini selain pemain Melaka United, Ahmad Khuzaimi Piee dan Nazirul Naim Che Hashim dari Perak.
Katanya, dia tidak melihat pilihan yang kecil itu sebagai masalah besar kerana dia yakin kedua-dua pemain itu mampu mencapai prestasi terbaik sebelum Piala AFF bermula.
“Ketika ini Nazirul Naim boleh dianggap sebagai pemain yang berpengalaman dan telah bermain dalam banyak perlawanan manakala Ahmad Khuzaimi masih lagi baharu dan belum mendapat pendedahan.
“Bagaimanapun saya percaya mereka ini mampu bermain secara konsisten terutama dalam aksi perlawanan antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Kim Swee berkata barisan pemain telah menunjukkan kesungguhan ketika sesi latihan pusat bersama skuad kebangsaan terutama selepas kem bina semangat di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.
“Sesi latihan pemain akan berubah pada minggu ini kerana kita hanya mempunyai dua minggu sebelum perlawanan pertama Piala AFF dan mereka akan mengharungi enam sesi latihan iaitu pagi dan petang selama tiga hari berturut-turut.
“Jadual memang agak padat pada minggu ini kerana mahu memastikan pemain cergas sepenuhnya, bagaimanapun latihan mungkin akan dikurangkan untuk sesi sebelah petang sahaja seminggu sebelum kita ke Yangon, Myanmar nanti,” jelasnya

-SUMBER See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-tidak-risau-1.404520#sthash.z1nJEDVK.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan