ARKIB : 11/06/2005
Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
PULAU PINANG 10 Jun - Malaysia
meletakkan nasib sebagai punca kekalahan 1-2 kepada Singapura pada perlawanan
persahabatan di Stadium Bandaraya, malam kelmarin apabila tujuh peluang
terhidang gagal dimanfaat sepenuhnya oleh barisan pemain terutamanya bahagian
serangan.
Jurulatih negara, Bertalan
Bicskei mengakui sememangnya nasib tidak menyebelahi pasukan negara apabila
barisan hadapan yang diketuai oleh Nizaruddin Yusoff, Hairuddin Omar dan
Zainuddin Ariffin seolah-olah serba tidak menjadi apabila berada di depan
gawang Singapura.
``Saya akui kekalahan kepada
Singapura merupakan satu tamparan hebat, namun apa yang boleh dikatakan tuah
sememang tidak menyebelahi Malaysia, ditambah pula dengan beberapa keputusan
pengadil yang sedikit sebanyak boleh dipertikaikan,'' katanya pada sidang
akhbar selepas perlawanan.
Ditambah dengan tahap permainan
para pemain Singapura nyata lebih baik dari pemain negara, Bicskei terpaksa
akur bahawa pemain dari negara selatan tanah air itu berada di kelas
tersendiri. Kekalahan kepada Singapura itu merupakan kekalahan kedua skuad
negara dalam tempoh lima hari, selepas tewas 2-0 dalam perlawanan pertama di
Stadium Nasional, Sabtu lalu.
Menurut Bicskei, beliau agak
kecewa dengan tindakan pengadil perlawanan, Jimmy Napitupulu yang dilihat agak
berat sebelah dalam mengadili perlawanan tersebut dan banyak keputusan boleh
dipertikaikan terutamanya yang melibatkan pemain-pemain negara.
Ketika sidang akhbar tersebut,
ekspresi mukanya terpancar kekecewaan terhadap beberapa keputusan perlawanan
terutamanya yang membabitkan pengadil dari Indonesia itu namun beliau terpaksa
akur terhadap apa yang telah diputuskan.
Ditanya tindakan beliau yang
memasuki padang sambil menolak pemain Singapura, Razaleigh Khaik pada minit ke
81 ketika Malaysia ketinggalan 1-2, Bicskei berkata beliau tidak mampu menahan
perasaan marah apabila melihat kekasaran demi kekasaran diperlakukan ke atas
pemainnya. Dalam kejadian itu, Bicskei yang dilihat hilang kesabarannya meluru
masuk ke dalam padang dan menolak Razaleigh setelah beliau membuat terjahan
keras ke atas pemain sayap negara, Zainuddin Ariffin. ``Terjahan sebegitu boleh
membuatkan kecederaan terhadap pemain saya, mana tahu mungkin Zainuddin
mengalami patah kaki jika terjahan itu tepat ke arah kakinya,'' ``Kamu
(wartawan) semua nampak apa yang berlaku dan saya minta maaf dengan tindakan
saya ini. Saya beranggapan perlu mempertahankan pemain daripada terus
dikasari,'' katanya lagi.
Jurulatih itu yang mendakwa
mutu pengadilan amat buruk berkata, tindakan pemain Singapura amat keterlaluan
dan tiada tindakan dikenakan terhadapnya walaupun bermain dengan keras.
Bicskei berkata, secara
keseluruhan, prestasi pemain bertambah baik dengan mempunyai tahap persefahaman
tinggi dan saling bekerjasama untuk mencari ruang memecah kubu lawan.
Mampu
Menurutnya, beliau berasa
sedikit gembira dengan mutu permainan yang ditunjukkan anak didiknya apabila
berusaha membuktikan mereka mampu mengalahkan pasukan lawan.
Katanya, setiap pemain dilihat
memberi sepenuh tumpuan untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan berkenaan,
namun beberapa peluang yang ditemui gagal disempurnakan barisan hadapan.
``Tahap permainan pemain negara
lebih bagus daripada pasukan lawan kerana mereka mempunyai semangat untuk
melawan sehingga minit-minit akhir walaupun tercicir di belakang pasukan lawan.
``Memang pasukan lawan bermain
dengan baik tetapi kita (pemain negara) juga bermain dengan bagus, namun saya
berharap kita memperoleh nasib lebih baik dalam perlawanan akan datang,''
katanya.
Katanya lagi, pemainnya sudah
memberikan komitmen 100 peratus terhadap permainan dengan semangat juang
tinggi, tetapi nasib tampak tidak menyebelahi Malaysia biarpun mempunyai banyak
peluang.
Dalam perlawanan itu, Malaysia
tewas 1-2 hasil jaringan Noh Alam Shah minit ke 18 dan Daniel Bannett minit ke
66, manakala Mohamad Arsyah Ayob merapatkan kedudukan dengan gol pada minit ke
24 selepas sepakan penalti Nizaruddin Yusof berjaya ditampan penjaga gol Singapura.
Dengan kemenangan agregat 4-1
itu, Singapura membawa pulang Piala Cabaran FAM yang disampaikan oleh Yang
Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iceNAZZm
© Utusan Melayu (M) Bhd