AFANDI (kiri) ketika bercakap
kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco FAM di Kelana Jaya
semalam.
SIAPA presiden baharu Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal terjawab pada 25 Mac tahun depan apabila
diadakan pemilihan jawatankuasa baharu badan induk bola sepak negara itu bagi
penggal 2017-2021.
Biarpun Pengerusi Jawatankuasa
Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat kini menjadi nama terbaharu dikaitkan
dengan jawatan tersebut, namun Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah
berkata bahawa anggota gabungan boleh memikirkan nama yang mahu dicalonkan.
“Sekarang ini anggota gabungan
boleh memikirkan siapa wakil mereka. Kita serahkan kepada mereka,” kata Afandi
pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM di Wisma
FAM, Kelana Jaya semalam.
Menurutnya, pencalonan perlu
dikemukakan selewat-lewatnya pada 23 Januari tahun depan dan senarai akhir
pencalonan akan disahkan pada 20 Februari.
“FAM mempunyai 19 anggota
gabungan dengan masing-masing diwakili dua wakil dan satu undi daripada
Persatuan Jurulatih menjadikan jumlah keseluruhan undi kepada 39.
“Barisan Exco sedia ada tidak boleh
menjadi perwakilan kepada anggota gabungan dan membuat pemilihan.
“Segala keputusan berdasarkan
undian anggota gabungan pada sesi pemilihan bagi penggal baharu nanti,” katanya
sambil menambah pemilihan jawatankuasa baharu itu dibuat sempena Kongres Tahunan
kali ke-53 badan induk tersebut.
Penyandang jawatan Presiden
FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sudah membuat keputusan untuk melepaskan
jawatan tersebut walaupun sudah dirayu oleh barisan Exco untuk
mempertimbangkannya semula.
Baginda memegang jawatan
tersebut selepas menewaskan pemilik Kelab Johor Darul Takzim, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim ketika pemilihan kepimpinan baharu sempena Kongres ke-50 FAM
pada 2014 lalu.
Tengku Abdullah menjelaskan
bahawa baginda sudah tidak ada urusan lagi untuk mentadbir badan induk bola
sepak negara itu yang sering dihimpit kontroversi serta kritikan daripada
pelbagai pihak.
Sebaik keputusan tersebut
beberapa nama mula dikaitkan untuk mengisi jawatan tersebut antaranya Tunku
Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes serta Ketua
Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4PQ0QMhZ7
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan