Sabtu, 30 September 2017

B12 Malaysia benam Indonesia, Tunisia



ARKIB : 02/07/2007
B12 Malaysia benam Indonesia, Tunisia

KUALA LUMPUR – Skuad bawah 12 tahun Malaysia mencatat pencapaian yang lebih baik dari tahun lalu selepas menumpaskan Indonesia 1-0 dan Tunisia 2-0 pada perlawanan penentuan tempat ke-17 hingga 32 Kejohanan Bola Sepak Piala Negara-Negara Danone di Lyon, Perancis, semalam.

Ketua pasukan, Muhammad Syafiq Ahmad menjamin kemaraan mereka untuk mengatasi pencapaian tempat ke-29 tahun lalu apabila jaringan tunggalnya membenam Indonesia dan satu lagi menerusi penentuan penalti ke atas Tunisia.

Bermain menentang pemain Indonesia yang jauh lebih besar, Muhammad Syafiq mengulangi persembahan cemerlangnya sebagaimana ketika membenam Cameroon 1-0 dalam perlawanan Kumpulan F yang turut mengandungi Argentina, Czech dan England.

Muhammad Syafiq dan Muhammad Muzaimir Abdul Hadi menyempurnakan penentuan penalti setelah Malaysia dan Tunisia terikat tanpa jaringan manakala penjaga gol, Mohammad Azam Jais turut muncul wira pasukan apabila menyelamatkan salah satu sepakan lawan.

Kelmarin, Malaysia yang diwakili pasukan remaja Pulau Pinang ini turut mengikat Argentina dan Czech tanpa jaringan sebelum kalah kepada England 2-0 sekaligus mengumpul lima mata untuk menduduki tempat ketiga kumpulan itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata: ‘‘Saya berbangga dengan pencapaian cemerlang pasukan apatah lagi setelah menewaskan Indonesia dan Tunisia. Kementerian akan terus memantau dan menyokong pasukan ini selain menyediakan program latihan terbaik di bawah jurulatih khas yang terpilih. Merekalah pemain masa depan negara.”

Malaysia kini memburu antara tempat ke-17 hingga 20 dalam kejohanan yang disertai oleh 40 pasukan dari seluruh dunia dengan menentang Poland hari ini.

Jika menang, mereka akan menentang sama ada Ireland atau Vanuatu sekaligus berpeluang mencapai tempat ke-17.

Sementara itu, juara bertahan, Reunion Island, bekas jajahan Perancis, menghampiri Piala Negara-negara Danone dengan mengatasi Sepanyol 6-5 menerusi penalti pada suku akhir selepas terikat 0-0 pada masa tambahan.

Reunion Island, juara 2002 akan menghadapi Perancis pada separuh akhir hari ini manakala satu lagi perlawanan menemukan Afrika Selatan dengan Turki sementara wakil tunggal Asia dalam suku akhir, Jepun dibenam 4-0 oleh tuan rumah.

Piala Negara-negara Danone merupakan kejohanan remaja utama tahunan dunia bagi peringkat bawah 12 tahun dan mendapat kelulusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

SUMBRArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4uBAv7ywg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain Malaysia amat tertekan



ARKIB : 30/06/2007

KUALA LUMPUR – Jurulatih merangkap Pengarah Teknikal Bola Sepak Jamaica, Bora Velibor Milutinovic menganggap tiada seorang pun pemain Malaysia yang mengagumkannya pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Jurulatih yang menerajui lima negara ke lima pusingan akhir Piala Dunia berturut-turut sejak 1986 ini menghormati kemampuan anak buah Norizan Bakar tetapi mendapati kebanyakan pemain Malaysia bermain dengan tekanan yang besar sebelum menyerah 2-0 kepada anak buahnya.

“Anda tanya siapa dia, jawapannya saya tidak nampak yang bagus, mereka sukar mengagumkan saya. Saya menghormati pemain anda tetapi saya lihat dan berpendapat, mereka bermain dengan tekanan besar,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan persediaan Malaysia ke Piala Asia, bulan depan itu.

Milutinovic mengakui Malaysia mencipta beberapa peluang jaringan pada babak kedua tetapi baginya, ia sekadar bertaraf biasa kerana suasana sebenar Piala Asia jauh berbeza dengan perlawanan persahabatan seperti kelmarin.

“Malaysia ada peluang menjaringkan gol tetapi corak permainan sebegitu tiada apa bagi saya. Ini cuma persahabatan dan pemain banyak bertukar dan diuji jurulatih tetapi saya harap Malaysia akan lebih bernasib baik (apabila menentang China, 10 Julai),” katanya.

Tegasnya, Malaysia perlu membuat persediaan segera dan seterbaik mungkin seolah-olah mahu menentang China esok dan bukannya cuma menganggap perlawanan pertama itu masih berbaki 11 hari lagi.

Secara jujur, Milutinovic dari Serbia yang melatih Mexico, Amerika Syarikat, Costa Rica, Nigeria dan China sehingga 2002 ini menyarankan penonton tempatan supaya hadir beramai-ramai di stadium dalam membantu menghasilkan ‘tenaga positif’ baru kepada skuad negara.

“Kepada orang ramai, bantulah pemain anda kerana tiga perlawanan dengan China, Uzbekistan dan Iran (Kumpulan C) itu amat penting dan bukan mudah dalam Piala Asia. Anda masih boleh melakukannya tetapi mestilah secara bersama dan sokonglah pasukan anda,” katanya.

“Piala Asia penting bagi Malaysia untuk mengetahui di mana pasukannya. Semua orang mahu menang tetapi realitinya sukar apatah lagi dengan Iran,” katanya yang mengagumi Stadium Nasional tetapi bukan dengan kedatangan hambar 4,000 penonton kelmarin.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4uB4Nw0Bo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tangani hantaran jauh – Norizan



ARKIB : 30/06/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Skuad negara perlu menekankan latihan menangani dan membuat hantaran jauh dalam tempoh 11 hari terakhir menjelang perlawanan pertama pusingan akhir bola sepak Piala Asia dengan China, bulan depan.

Jurulatih negara, Norizan Bakar berkata, kelemahan anak buahnya itu dikenal pasti sepanjang tiga perlawanan persahabatan sejak 18 Jun lalu tetapi ia menjadi ketara ketika menentang Jamaica di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

“Sebelum ini kami menghadapi masalah dalam mencipta peluang tetapi dengan tiga perlawanan ini, kami telah mengatasinya. Kini kami hanya perlu selesaikan soal hantaran jauh,” katanya selepas Malaysia kalah 2-0 dengan gol Christopher Harvey dan Wolry Wolfe.

Menurut Norizan, skuad negara sepatutnya lebih segera memburu gol dan tidak menanti sehingga babak kedua untuk mencipta lebih banyak peluang biarpun prestasi ketika itu memuaskan hatinya yang dibantu kemasukan ramai pemain gantian.

“Sepatutnya ada kesegeraan seperti babak kedua dan pemain memulakan permainan babak pertama dengan sedemikian kerana bola sepak bukan hanya bagi 45 minit.

“Namun, saya dapati pemain tetap bersemangat tinggi dalam babak kedua dan mereka seolah-olah bermain dalam suasana sebenar perlawanan pertama nanti,” katanya.

Antara percubaan terbaik Malaysia pada babak kedua yang mampu meraih gol ialah menerusi rembatan kaki kiri dan tandukan Safee Sali serta gerakan solo Shahrulnizam Mustapha yang sedikit tersasar selain percubaan berbahaya Fadzli Shaari.

Norizan bagaimanapun sempat merujuk kepada isu pelepasan pemain negara ke Piala FA yang menjejaskan tumpuan anak buahnya ke Piala Asia dari 7 hingga 29 Julai ini dengan peringkat awal ialah Kumpulan C bersama China, Uzbekistan dan Iran.

Menurutnya, isu itu turut mengurangkan pembabitan pemain berkenaan dalam empat sesi latihan skuad negara sekali gus memaksanya menguji lebih ramai pemain simpanan dengan Jamaica tanpa berpegang kepada kesebelasan utama idamannya.

“Apabila ada perlawanan tempatan, mereka terlepas empat sesi latihan. Memang saya menguji beberapa pemain (dengan Jamaica dalam fasa terakhir persediaan) tetapi saya tidak bimbang kerana sebagai jurulatih, saya perlu ada pelan persediaan A, B dan sebagainya,” katanya.

Norizan menegaskan, tiada lagi perlawanan persahabatan untuk Malaysia selepas ini kerana Piala Asia semakin hampir dan kecergasan dan pemulihan pemain perlu diambil kira tetapi dia menagih kesempatan yang lebih banyak untuk menggunakan Stadium Nasional sebagai gelanggang latihan.

“(Kelmarin) kali pertama kami dapat menggunakan padang sendiri (Stadium Nasional). Saya tidak mahu menjadikannya alasan itu punca kita kalah dengan Jamaica tetapi sepatutnya ia dapat digunakan lebih awal untuk kami menyesuaikan diri,” katanya.

Aksi dengan Jamaica pada babak kedua merupakan yang terbaik di antara tiga perlawanan persahabatan sekali gus membayangkan barisan pemain berkenaan bakal menjadi pilihan utama Malaysia termasuk penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang mungkin sempat pulih daripada kecederaan lutut kanan menjelang menentang China

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4uB2TLkqp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Segera perbaiki kelemahan



 
ARKIB : 30/06/2007

Oleh: AIZAWATI AHMAD
TIMBALAN Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sempat beramah mesra dengan bekas pemain kebangsaan, Namat Abdullah pada perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan Pilihan Mahkota United dan pasukan Pilihan Adun Sungai Lembing sempena perlawanan akhir bola sepak bawah 12 Tahun Piala Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah di Sungai Lembing, semalam.

KUANTAN – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan pasukan kebangsaan agar segera memperbaiki kelemahan yang masih ada dan bukan masanya untuk mereka terkial-kial menguji kombinasi pemain.

Teguran itu disuarakan oleh beliau selepas menyaksikan sendiri pasukan kebangsaan yang terkulai layu di kaki para pemain Jamaica setelah tumpas 0-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum Malaysia memulakan kempen pada pusingan akhir Piala Asia menentang China, 10 Julai ini.

Beliau berkata, masih ada ruang untuk pasukan kebangsaan memperbaiki corak permainan yang longgar dan jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar perlu segera mencari rencah terbaik bagi mengukuhkan pasukan.

‘‘Saya rasa mereka (pasukan kebangsaan) masih memerlukan sekurang-kurangnya dua atau tiga lagi perlawanan persahabatan agar persembahan lebih mantap khususnya di posisi pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Yang Mulia Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah di sini semalam.

Sempena kejohanan itu, satu perlawanan persahabatan antara pasukan Pilihan Mahkota United menentang pasukan Pilihan Adun Sungai Lembing turut diadakan.

Pasukan Mahkota United turut dibarisi bekas pemain kebangsaan yang pernah menyinar di zaman 1970 dan 80an antaranya Datuk Soh Chin Aun, Isa Bakar, Ahmad Yusof, Yunus Alif, Abdah Alif, Namat Abdullah, Isa Bakar dan Tajuddin Nor.

Mengulas lanjut persiapan pasukan kebangsaan, Tengku Abdullah berkata, para pemain tidak boleh berasa rendah diri apabila beraksi menentang pasukan yang lebih kuat dalam Piala Asia kerana apa yang lebih penting ialah mempamerkan mutu permainan yang berkualiti.

Jelas beliau lagi, pasukan kebangsaan juga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Akmal Rizal Ahmad Rakhli semata-mata walaupun menyedari kehadiran pemain tersebut berupaya mengukuhkan lagi pasukan.

Bercakap mengenai perlawanan Malaysia menentang Jamaica, Tengku Abdullah memberitahu, barisan pemain kebangsaan jelas tidak menunjukkan mutu permainan yang berkualiti malah strategi mereka dengan menghantar bola tinggi ternyata memakan diri.

‘‘Para pemain Jamaica memiliki susuk fizikal yang tinggi, apa yang saya lihat dalam perlawanan tersebut para pemain kita banyak menghantar bola tinggi khususnya pada separuh masa pertama,” tegasnya.

Katanya lagi, jurulatih perlu berhati-hati menyusun strategi dalam setiap perlawanan agar tidak tersalah percaturan yang akhirnya akan menyebabkan Malaysia kecundang

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uAzYEIGc
© Utusan Melayu (M) Bhd