Rabu, 18 Oktober 2017

Wanita kita dibelasah



 
ARKIB : 03/12/2007
Daripada: ABDUL HAFIZ AHMAD
DUA pemain pertahanan Malaysia, Angela Kais (12) dan Rozeine Dusileh (6) cuba menghalang kemaraan pemain Thailand, Pitsamai Sornsai sewaktu aksi acara bola sepak wanita Sukan SEA 2007 di Korat, semalam.

KORAT – Skuad negara ternyata bukan tandingan Thailand langsung apabila diperbudakkan dan dibelasah teruk 6-0 dalam perlawanan Kumpulan B bola sepak wanita Sukan SEA Korat di Stadium Tumbon Mueangpug di sini, semalam.

Mereka akur dengan kehebatan naib juara Kejohanan Wanita AFF, September lalu itu menerusi dua jaringan Junpen Seesraum (minit kesembilan dan 26), Nisa Romyen (14), Pitsamai Sornsai (52), Suphaphorn Kaeobaen (80) dan Sunisa Srangthaisong (88).

Statistik keseluruhan turut menunjukkan pengusaan dan kelas tersendiri tuan rumah yang dibimbing Chana Yodprang dengan melakukan 29 percubaan ke gol berbanding cuma satu milik Malaysia .

Skuad bimbingan Mohd. Shah Norbit yang menduduki tempat keempat kejohanan yang sama di Yangon, Myanmar itu, masih lemah dalam kawalan bola, umpanan dan mencipta peluang malah keberanian untuk merembat ke gawang.

Dua peluang terbaik Malaysia tiba pada minit awal babak pertama tetapi sepakan Zaryatie Zakaria yang terkena seorang pemain lawan dan melantun masuk, tidak disahkan oleh pengadil, Hoang Trang Mai dari Vietnam kerana mendakwa ofsaid.

Kemudian dalam babak kedua, anak buah Mohd. Shah terlepas satu lagi peluang untuk merapatkan kedudukan apabila pemain gantian, Eslilah Esar terlalu gementar untuk merembat ke gawang biarpun cuma perlu mengatasi penjaga gol lawan, Waraporn Boonsing.

Skuad negara menghadapi tugas yang lebih berat selepas ini sekiranya masih mengidam ke separuh akhir sebagai wakil Kumpulan B kerana menanti mereka ialah juara AFF, Myanmar.

Kata Mohd. Shah, ‘‘kami memang telah menjangka keputusan yang tidak menyebelahi Malaysia ini tetapi agak tersasar daripada misi awal iaitu cuba mengurangkan antara tiga atau empat gol lawan apabila mereka dapat dua lagi gol minit terakhir.

‘‘Jika dapat melakukannya tadi, ia satu pencapaian baik namun Thailand jauh lebih handal dan berpengalaman luas. Pasukan sudah cuba melawan malah saya hairan bagaimana gol kami boleh dikatakan ofsaid,’’ katanya.

Mengenai Myanmar, katanya, ‘‘hanya kemenangan yang mampu menjamin kami ke separuh akhir tetapi kami akui, tugasnya memang lebih sukar kerana lawan merupakan juara bertahan AFF dan pasukan pilihan utama di Korat.’’

Skuad wanita negara yang menjuarai Sukan Arafura Darwin, awal tahun ini meraih tempat keempat di Yangon tetapi dibelasah Vietnam 9-0 dan 6-0 (kumpulan dan tempat ketiga) serta 5-0 oleh Myanmar pada separuh akhir di Yangon .

Skuad ini bakal menghadapi perlawanan pusingan kedua Piala Asia Wanita dalam Kumpulan B sekali lagi dengan Thailand dan pasukan kelima terkuat Asia, Korea Selatan pada Mac tahun depan serta Filipina yang ditewaskannya 2-1 di Yangon.

Malaysia mara ke pusingan kedua Piala Asia selepas menewaskan Singapura 2-1 secara agregat, bulan lalu (2-0 di Singapura dan kalah 1-0 di Seremban) tetapi hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan pusingan kedua, layak ke pusingan akhir.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah memenangi pingat perak bola sepak wanita Sukan SEA Chiang Mai 1995.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vu59NdCO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan