Isnin, 16 Oktober 2017

FAM tidak berang Malaysia tewas



ARKIB : 23/10/2007
Oleh: AMRAN MULUP
 
PENYERANG Bahrain, Jaycee Okwunwanne (kanan) melepasi halangan penjaga gol Malaysia, Syed Adney Syed Hussein dalam saingan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2010 di Manama, kelmarin. Malaysia tewas 1-4.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin mengharapkan skuad bola sepak kebangsaan dapat melakukan sesuatu apabila berdepan Bahrain pada perlawanan kedua, pusingan pertama kelayakan Piala Dunia Zon Asia di Stadium Shah Alam pada 28 Oktober ini.

Katanya, kekalahan 1-4 skuad kebangsaan kepada Bahrain di Manama, kelmarin biarpun tampak mengundang laluan sukar tetapi bekalan satu gol di tempat lawan adalah kesempatan yang harus digunakan di Stadium Shah Alam nanti.

‘‘Kita mengharapkan satu keputusan yang baik dapat dilakukan di Shah Alam,’’ ujar Khairy mengulas kekalahan teruk skuad kebangsaan 1-4 kepada Bahrain di Stadium Nasional, Manama, kelmarin.

Kekalahan kelmarin bagaikan menyempitkan peluang anak didik Sathianathan untuk memadamkan kelebihan tiga gol milik Bahrain apabila menanti kunjungan lawan pada 28 Oktober ini.

Bagi FAM kata Khairy, mereka menerima kekalahan itu dengan nada positif memandangkan skuad ini adalah barisan muda untuk masa hadapan yang masih memerlukan lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa.

‘‘Saya diberitahu oleh Sathianathan barisan pemainnya telah bermain dengan baik pada babak pertama dan mampu menyaingi kehebatan Bahrain.

‘‘Mereka (pemain) dapat mengimbangi lawan dan mampu melakukan serangan tetapi banyak peluang disia-siakan,’’ ujarnya.

Beliau menambah pada babak kedua tumpuan pemain mula hilang dan membolehkan Bahrain menambah dua gol lagi.

Ujarnya, Sathianathan mengakui barisan pemainnya mudah hilang tumpuan setiap kali ketinggalan.

‘‘Saya dimaklumkan lagi oleh Sathianathan betapa anak didiknya telah bermain cukup baik berbanding keputusan yang diperoleh di atas kertas.

‘‘Saya mengharapkan mereka (pemain) dapat melakukan sesuatu di Stadium Shah Alam nanti,’’ ujarnya.

Rentak permainan skuad kebangsaan serba tidak menjadi hingga membolehkan Bahrain mencipta jaringan pertama seawal minit kelima menerusi Abdullah Baba Fatadi manakala Jaycee Okwunwanne pula menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-16.

Begitupun jaringan pada masa kecederaan sebelum rehat menerusi pemain gantian Mohd. Buyamin Umar sedikit melegakan.

Namun, impian musnah apabila dua lagi milik Bahrain menyusul menerusi Mahmood Abdul Rahman (m-56) dan sepakan penalti Alaa Hubail di masa kecederaan perlawanan hendak ditamatkan.

Khairy berkata, biarpun keputusan itu kurang memuaskan namun beliau bersikap positif betapa barisan muda negara itu masih mempunyai baki 90 minit yang memungkinkan kejutan dapat dilakukan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vju52Ryv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan