Rabu, 4 Oktober 2017

Kementerian Pelajaran ambil alih Akademi FAM



ARKIB : 26/07/2007

PULAU PINANG – Mulai tahun depan, Kementerian Pelajaran akan mengambil alih semua Akademi Bola Sepak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk diserap ke dalam Sekolah Sukan Negeri di bawah satu pelan tindakan kementerian itu bagi memulihkan mutu bola sepak negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, pada masa sama, Sekolah Projek (Sukan) Kementerian Pelajaran di setiap negeri akan ditukar menjadi Sekolah Sukan Negeri khusus untuk menempatkan pelajar yang aktif dalam bidang sukan.

‘‘Rancangan itu bakal melahirkan ahli sukan secara berterusan untuk jangka panjang dan mereka yang keluar dari Sekolah Sukan Negeri akan mempunyai pekerjaan tetap,” katanya kepada pemberita selepas meraikan pemain bola sepak Pulau Pinang yang menyertai Kejohanan Piala Danone di Lyon, Peranchis baru-baru ini di Pusat Sukan Air, Teluk Kumbar, semalam.

Noh berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Seri Ibrahim Saad dan badan induk bola sepak negara ini pada dasarnya bersetuju dengan rancangan itu.

Mengikut pelan tindakan itu, FAM akan menyediakan pakar dalam bidang bola sepak dan kementerian mengadakan peruntukan serta kemudahan sukan termasuk pemain, kata Noh.

Pada masa ini, FAM memilih Sekolah Menengah Teknik di setiap negeri untuk melaksanakan Akademi Bola Sepak secara menumpang manakala Sekolah Projek mengandungi sebahagian pelajar yang aktif dalam sukan dan bakinya pelajar biasa.

Noh berkata, apabila rancangan itu dilaksanakan, hanya pelajar yang aktif bersukan sekurang-kurangnya mewakili daerah dalam satu jenis sukan teras akan dipilih ke Tingkatan Satu Sekolah Sukan Negeri tahun depan.

Menurut pelan tindakan itu, kementerian dengan kerjasama FAM akan menubuhkan pasukan bawah 12 tahun dan 14 tahun untuk dilatih menjadi pelapis pasukan negara mulai tahun ini di samping mengadakan projek berkembar dengan sekolah atau kelab bola sepak di luar negara tahun depan, kata Noh.

Infrastruktur semua Sekolah Projek akan dinaik taraf selain tiga buah Sekolah Sukan Negara akan dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu di Pahang, Perlis dan Sabah dengan kos sebanyak RM160 juta.

Pelan tindakan itu juga memperuntukkan pelepasan kepada guru-guru yang menjadi jurulatih sambilan mengikuti kursus kejurulatihan sepenuh masa tanpa perlu mengambil cuti bagi menambah bilangan 1,200 guru yang mempunyai sijil pada masa ini, katanya.

Noh berkata, kesemua pemain Piala Danone Pulau Pinang akan diberi pengecualian memasuki Tingkatan Satu Sekolah Mutiara Impian (Sekolah Sukan Negeri) di Simpang Apat, Seberang Perai Selatan tahun depan tanpa mengambil kira keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) mereka.

Dalam kejohanan bola sepak di Peranchis pada 29 Jun hingga 1 Julai lepas, pasukan Pulau Pinang yang mewakili negara menduduki tempat ke-17 daripada 40 pasukan seluruh dunia yang mengambil bahagian.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uXoDxEeQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan