Selasa, 3 Oktober 2017

Gulung tikar! - Malaysia tersingkir penuh aib dan memalukan



ARKIB : 15/07/2007
Oleh: AMRAN MULUP
 HAMPA...Kekecewaan jelas terbayang pada wajah pegawai-pegawai pasukan dan para pemain skuad Malaysia di bangku simpanan selepas menyaksikan kesebelasan utama negara dibelasah 5-0 oleh Uzbekistan dalam perlawanan kedua saingan Kumpulan C Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. – Reuters.

KUALA LUMPUR – Tatkala Vietnam hampir meloloskan diri, Thailand dan Indonesia masih berpeluang, hanya Malaysia selaku tuan rumah bersama yang pertama tersingkir dengan penuh aib dan memalukan daripada memburu tempat ke suku akhir bola sepak Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Selepas Malaysia dibelasah China 1-5, giliran Uzbekistan pula menunjukkan betapa rapuh dan longlainya martabat bola sepak skuad kebangsaan yang tunduk 5-0 dalam perlawanan Kumpulan C Piala Asia.

Biarpun jurulatih Norizan Bakar merombak kesebelasan utama ketika diaibkan oleh China 5-1, Selasa lepas untuk bertemu Uzbekistan kononnya bakal membawa perubahan baru, tetapi hakikatnya tidak ada apa yang mampu dibanggakan.

Kerapuhan bahagian tengah menguasai bola selain hantaran-hantaran tidak tepat dan mudah dirampas pemain lawan disusuli ketumpulan jentera serangan melakukan tindakan penyudah di depan pintu gol, membuktikan kelemahan yang terpancar membelenggu skuad kebangsaan dalam perlawanan ini.

Segelintir penonton yang hadir kerana masih mempunyai belas ihsan terhadap skuad kebangsaan menggeleng-geleng kepala melihat aksi pemain yang jelas longlai biarpun Uzbekistan bukanlah skuad yang dianggap handal selepas mereka tunduk 2-1 kepada Iran dalam perlawanan pertama.

Apa lagi alasan yang harus diberikan oleh Norizan mengupas kekalahan kedua kepada Uzbekistan apabila menunjukkan jalan keluar lebih awal buat skuad kebangsaan dan perlawanan terakhir menentang Iran Rabu ini sekadar melengkapkan jadual yang sudah diatur.

Buat Uzbekistan kemenangan mudah 5-0 ke atas Malaysia menghidupkan kembali peluang mereka untuk terus bersaing memburu tempat ke suku akhir di sebalik kekalahan 1-2 kepada Iran dalam perlawanan pertama dan akan membuat perhitungan terakhir menentang China Rabu ini.

Empat gol Uzbekistan menerusi jaringan Maksim Shatskikh (m-9, m-89), Timur Kapadze (m-29), Ulugbek Bakaev (m-45) dan Aziz Ibragimov (m-84) sudah cukup menutup peluang Malaysia daripada layak ke suku akhir.

Kekalahan kedua buat Malaysia menyaksikan skuad kebangsaan terus menduduki tangga tercorot Kumpulan C tanpa mengutip sebarang mata.

Penguasaan Uzbekistan terserlah sejak daripada minit-minit awal dengan asakan bertali arus mencemaskan seketika benteng pertahanan yang dikemudi oleh ketua pasukan, Muhammad Kaironnisam Hussain.

Uzbekistan lebih awal memecah kebuntuan jaringan gol pada minit kesembilan hasil tandukan mudah ketua pasukan, Maksim Shatskikh.

Biarpun penjaga gol kebangsaan, Azizon Abdul Kadir dapat menampan bola tetapi sebaliknya bergolek masuk ke gawang sendiri.

Gol itu terus menenggelamkan aksi anak didik jurulatih Norizan Bakar dengan setiap hantaran di bahagian tengah mudah dirampas oleh pemain lawan.

Peluang terbaik buat skuad kebangsaan untuk mengikat kedudukan hadir pada minit ke-19 namun rembatan kencang Shahrulnizam Mustafa dari luar kotak penalti beberapa inci keluar daripada tiang gol sebelah kanan Uzbekistan.

Pada minit ke-29 Uzbekistan mengukuhkan kedudukan Timur Kapadze pula memahatkan nama sebagai penjaring kedua.

Kesilapan Muhamad Kaironnisam gagal menyekat pergerakan Kapadze, dia mudah mengelecek dua lagi pemain pertahanan skuad kebangsaan sebelum melepaskan rembatan lemah ke penjuru kanan gagal diselamatkan oleh Azizon.

Pada masa kecederaan sebelum rehat, Uzbekistan mencipta gol ketiga menerusi sepakan penalti Ulugbek Bakaev.

Malaysia hampir-hampir mengikat kedudukan dalam tempoh lima minit sebelum rehat apabila sepakan percuma Hardi Jaafar mudah ditepis keluar oleh penjaga gol Uzbekistan, Ignatiy Nesterov manakala tandukan Hairuddin Omar pula meliar keluar.

Kesilapan Azizon Kadir menjatuhkan Bakaev di kotak penalti membawa padah apabila pengadil perlawanan Abdulrahman Abdou dari Qatar tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang mudah ditolak masuk pemain itu.

Uzbekistan menutup tirai dengan dua jaringan pada babak kedua menerusi pemain gantian Aziz Ibragimov pada minit ke-84 dan Maksim pula seminit sebelum tamat.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uRwxWVQW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan