Jumaat, 20 Oktober 2017

Sathia tumpu Piala ASEAN



ARKIB : 18/12/2007

KUALA LUMPUR – Selepas gagal membawa Malaysia layak ke separuh akhir Sukan SEA di Korat, tumpuan jurulatih bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan kini beralih kepada Piala ASEAN 2008.

Menurut Sathianathan, kegagalan Malaysia di Korat memang mengecewakan, namun ia bukan mutlak dan beliau percaya, jurang antara pemenang dan pasukan yang kalah masih boleh diterima.

‘‘Saya tidak fikir ada yang meragukan dengan komitmen pemain kerana mereka telah memberi 100 peratus apabila beraksi dan telah mencurah segala yang termampu dalam setiap perlawanan. Yang kita tidak ada cuma tuah.

‘‘Kami semua amat kecewa apabila gagal meneruskan kemaraan tetapi saya percaya, apa yang lebih penting adalah memperbaiki permainan untuk menghadapi kejohanan seterusnya, sekali gus mengulangi kejayaan Pesta Bola Merdeka.

‘‘Sudah tentu kami akan melakukan beberapa perubahan apabila beraksi pada Kejohanan Bola Sepak ASEAN tahun depan, di mana fokus juga harus lebih baik berbanding yang dipertontonkan pada Sukan SEA,’’ kata Sathianathan dalam laman web rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), www.fam.org.my, semalam.

Bagaimanapun, Sathianathan mengakui, antara masalah utama Malaysia dalam kempen Sukan SEA lalu adalah kegagalan menggunakan khidmat tonggak pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dalam dua perlawanan pertama.

Aidil, 20, hanya diturunkan pada pertemuan terakhir Kumpulan B, menentang Singapura selepas digantung dua perlawanan kerana menerima kad merah pada kelayakan Piala Dunia.

Meski pun kembali mendapat sentuhan Aidil, jentera serangan skuad negara pula tumpul pada perlawanan terakhir selepas adik kembar Aidil dan penyerang utama negara, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak tidak dapat diturunkan.

Malaysia kalah 1-3 kepada Vietnam, sebelum membenam Laos 4-0 dan seri 1-1 dengan Singapura.

‘‘Masalah kami tiba pada masa yang tidak kena, apa pun saya percaya pemain-pemain kami telah memperoleh pengalaman yang berguna di Sukan SEA.

‘‘Saya harap pengalaman itu dapat membantu pasukan untuk mengharungi kempen yang lebih mantap pada Piala ASEAN, malah saya juga berharap kami akan mendapat undian yang baik.

‘‘Kami memerlukan beberapa perlawanan berkualiti untuk menyiapkan pasukan menjelang Piala ASEAN,’’ kata Sathianathan lagi.

Lokasi Piala ASEAN 2008 belum diputuskan selepas Singapura dan Thailand sebelum ini menarik diri daripada menjadi calon tuan rumah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4w3V7i5hU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan