ARKIB : 21/08/2007
Oleh AMRAN MULUP
Tonggak Malaysia, Mohd. Zaquan
Adha Abd. Razak (dua dari kiri) diasak oleh dua pemain Laos dalam Pesta Bola
Merdeka di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi.
PETALING JAYA Faktor
keletihan selepas dua minggu menjalani latihan di Slovakia tidak menghalang
skuad bawah 23 negara mengutip kemenangan pertama apabila menewaskan pasukan lemah,
Laos 2-0 dalam perlawanan Kumpulan A Kejohanan Pestabola Merdeka Ke-39 di
Stadium Petaling Jaya, semalam.
Kemenangan mudah yang
sememangnya sudah dijangkakan buat skuad kebangsaan yang dalam persiapan
menghadapi Sukan SEA di Korat, Thailand Disember nanti diperoleh menerusi gol
jaringan Safee Sali pada minit ke-31 dan pemain senior, Mohd. Shukor Adan pada
minit ke-53.
Di hadapan kira-kira 1,000
penonton, kemenangan 2-0 itu dianggap permulaan yang baik buat skuad bimbingan
B. Sathianathan bagi menghadapi ujian sebenar menentang penyandang juara,
Myanmar esok.
Myanmar pula membuka tirai
kempen pertama dalam perlawanan pertama menewaskan wakil dari Afrika, Lesotho
1-0.
Perlawanan dengan Laos belum
benar-benar menguji kewibawaan sebenar skuad kebangsaan memandangkan lawan
malam tadi bukanlah tandingan sebenar di pentas bola sepak Asia Tenggara begitu
juga di Sukan SEA nanti.
Barisan pemain negara menguasai
pentas saingan berbanding Laos yang tampak kurang memberi ancaman.
Skuad negara yang
mempertaruhkan tiga pemain senior Norhafiz Zamani Misbah, Muhd. Shukor dan
V.Thirumurugan, skuad negara menguasai permainan sejak awal.
Seawal minit keenam anak didik
Sathianathan menunjukkan belang apabila ketua pasukan Selangor, Muhd. Shukor
hampir-hampir mencipta gol awal tetapi sepakan lambungnya ditepis keluar
penjaga gol Laos, Phoutpasong Sengdalavong.
Skuad kebangsaan terus memberi
tekanan ke atas Laos yang membariskan ramai pemain muda dengan giliran Mohd.
Aidil Zafuan Abd. Razak melakukan rembatan tetapi melewati palang gol.
Seminit selepas itu Muhd.
Shukor melakukan sepakan lemah ke sebelah kiri walaupun berada di depan pintu
gol lawan.
Gol awal yang dicari oleh skuad
kebangsaan hadir pada minit ke-31 bermula daripada rembatan kencang Mohd.
Khyril Muhymeen Zambri ditolak keluar oleh penjaga gol Laos.
Bola muntah itu pantas disambar
oleh Safee yang mudah menolak masuk dalam keadaan pintu gol Laos tidak dijaga.
Malaysia mengukuhkan kedudukan
apabila Muhd. Shukor mudah menanduk masuk daripada sepakan bebas Amirul Hadi
Zainal pada minit ke-53.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vOudkO8L
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan