ARKIB : 09/08/2007
Oleh SAYED HESHAM IDRIS dan
SHARIZA ABDULLAH
Pemain-pemain Malaysia meraikan
jaringan gol penyamaan Badrol Bakhtiar menentang Bayern Munich pada Piala
Juara-Juara Belia di Stadium Sarawak, semalam. Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.
KUALA LUMPUR Jaringan pada
babak akhir Viktor Bopp menafikan hasrat skuad negara untuk mengikat Bayern
Muncih pada perlawanan pembukaan Kumpulan D Kejohanan Bola Sepak Piala
Juara-Juara Belia (CYC) apabila tewas 1-2 di Stadium Sarawak, semalam.
Jaringan Bopp pada minit ke-70
menerusi sepakan deras dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol kebangsaan,
Khairul Fahmie sekaligus mengecewakan anak buah Robert Alberts yang beraksi
kemas sepanjang perlawanan.
Percaturan formasi 5-4-1 anak
buah Robert Alberts berjaya apabila pasukan tuan rumah sentiasa memberi saingan
sepanjang perlawanan apabila tidak patah semangat sekalipun ketinggalan 0-1
pada masa kecederaan babak pertama menerusi Gianluca Simari yang menyempurnakan
hantaran silang Diminik Rohracer.
Malaysia bangkit pada babak
kedua dengan menambah asakan ke kubu lawan dan akhirnya gol penyamaan muncul
pada minit ke-54 menerusi gol sendiri ketua pasukan, Bjorn Kopplin yang
tertampan bola lintang Badrol Bakthiar.
Terdahulu Malaysia sepatutnya
memperoleh sepakan penalti pada minit ke-15 apabila bola jelas terkena tangan
kanan pemain pertahanan, Jakob Engelmann, namun ia dinafikan oleh pengadil
Mohammad Hamidin Shahbuddin.
Pujian harus diberikan kepada
penjaga gol, Khairul Fahmie Che Omar yang berjaya mengawal gawang dari mudah
dibolosi.
Alberts ketika ditemui selepas
perlawanan berkata, pujian harus diberikan kepada pemain muda negara kerana
berjaya memberikan persembahan terbaik.
Katanya, para pemain mengikut
segala perancangan dengan bermain pantas bagi mengimbangi pergerakan lawan.
Memang ramai yang meramalkan
kita akan dibelasah oleh Bayern tetapi kalah hanya dengan satu gol merupakan
satu keputusan yang tidak mengecewakan.
Kita akan berusaha
memperbaiki kelemahan pada perlawanan seterusnya, katanya.
Dalam satu lagi perlawanan
kumpulan sama, wakil Belanda, PSV Eindhoven menundukkan Chelsea 1-0.
Pemain gantian, Nigel
Hasselbaink yang baru seminit dimasukkan menjaringkan gol tunggal perlawanan
pada minit ke-46 apabila memperdayakan pertahanan lawan sebelum merembat deras
menewaskan penjaga gol Jeroen Zoet.
Sementara itu, dalam saingan
pembukaan Kumpulan A, gergasi kelab bola sepak Itali, AC Milan hanya mampu seri
1-1 dengan Flamengo di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.
Dalam perlawanan yang turut
disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta dua anak mereka, kedua-dua pasukan gagal
mempamerkan persembahan menarik dengan tidak banyak peluang dicipta sepanjang
perlawanan.
Hanya di babak kedua gol
berjaya dijaringkan dengan Flamengo lebih dulu di depan menerusi pemain
gantian, Pedro Mogueira yang bijak menyambar bola umpanan Vander Viera dari
sebelah kiri gawang Milan untuk membolehkan pasukannya mendahului 1-0.
Pierre Aubame muncul penyelamat
Milan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila menyamakan kedudukan
pada minit ke-58 selepas menolak masuk bola yang gagal ditampan kemas oleh
Offredi hasil percubaan pemain tersebut sebelum itu.
Satu lagi perlawanan Kumpulan A
menyaksikan Arsenal turut seri tetapi tanpa jaringan dengan Ajax Armsterdam.
Meski pun kelab gergasi Liga
Perdana England dan Belanda itu mempamerkan persembahan menarik dengan masing-
masing melancarkan gerakan berbahaya, namun kedua-dua pasukan perlu menyalahkan
diri sendiri kerana gagal merebut peluang menjaringkan gol yang dicipta sejak
wisel permainan ditiupkan.
Keempat-empat pasukan akan
kembali beraksi Jumaat ini
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vIpEnUrT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan