Rabu, 4 Oktober 2017

Tiga lagi diarah lepaskan jawatan



ARKIB : 20/07/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 
LEPAS JAWATAN... (dua dari kiri) Anifah Aman, Nasir Yusof dan Lim Chuan Chin dikatakan turut diarah melepaskan jawatan selepas berakhirnya kempen skuad negara di Piala Asia.

KUALA LUMPUR - Episod skuad bola sepak negara terus berpanjangan dengan kali ini pengurus pasukan negara, Datuk Anifah Aman dan dua lagi jurulatih, Nasir Yusof serta Lim Chuan Chin pula diarah melepaskan jawatan masing-masing.

Seperti nasib ketua jurulatih, Norizan Bakar, ketiga-tiganya turut dikatakan mendapat arahan daripada pihak atasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar melepaskan jawatan sejurus berakhirnya perlawanan Kumpulan C, kelmarin.

Mereka bertiga menjadi mangsa penyingkiran gara-gara kekalahan memalukan 5-1 kepada China dan 5-0 kepda Uzbekistan, malah lebih mengecewakan ialah apabila arahan pelucutan jawatan itu diberitahu beberapa jam sebelum skuad negara turun ke Stadium Nasional, Bukit Jalil dan dikalahkan Iran 2-0.

Nasir merupakan penolong jurulatih skuad negara sejak era bimbingan Bertalan Bicskei dari Hungary pada 2004 lagi dan pernah beraksi sebagai pemain tengah kebangsaan manakala Chuan Chin, bekas penjaga gol negara, menyandang tugas sebagai jurulatih penjaga gol.

‘‘Keputusan itu diberitahu oleh Datuk Anifah tetapi ia sedikit pun tidak menggugat tumpuan kami dalam menyediakan pasukan Malaysia untuk menentang Iran selepas itu. Kami masih mampu mengharunginya dengan tabah dan melakukan yang terbaik.

‘‘Norizan juga telah menjalankan tugasnya dengan baik. Dia mempunyai pendirian dan menyediakan skuad negara dengan penuh bertanggungjawab. Bukan satu tugas mudah untuk melatih pasukan Malaysia tetapi dia cukup berani untuk menghadapi cabaran itu,” kata Chuan Chin di Hotel Prince di sini, semalam.

Menurut bekas penjaga gol yang seangkatan mendiang R. Arumugam dan Hamid Ramli pada era 80an serta abang kepada jurulatih skuad remaja Bayern Munich, Lim Teong Kim ini, dia bagaimanapun belum pasti ke mana haluan atau perancangannya selepas ini.

Chuan Chin mengasuh ramai penjaga gol negara antaranya Azmin Azram Aziz, Kamarulzaman Hassan, Syamsuri Mustafa, Nasril Nourdin, Azizon Kadir dan Suffian Ab. Rahman.

‘‘Saya bagi pihak jurulatih pasukan ini mengucapkan terima kasih kepada penonton yang tetap datang ke stadium untuk menyokong Malaysia sepanjang Piala Asia malah sejak perlawanan persahabatan lagi,” ujarnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uXbov6d7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan