Khamis, 12 Oktober 2017

Malaysia laung keyakinan baru



 
ARKIB : 07/08/2007
Malaysia laung keyakinan baru
BARISAN pemain pasukan bola sepak Bawah 19 Malaysia selepas menjalani sesi latihah di Stadium Negeri, Kuching semalam menjelang saingan pada Kejohanan Piala Juara-Juara Belia (CYC) yang bermula esok.

KUCHING – Malaysia melaungkan keyakinan mampu menyaingi kelab-kelab handalan dunia pada kejohanan Piala Juara-Juara Belia (CYC) walaupun mengakui wujud perbezaan ketara di antara pemain negara dan pasukan lawan.

Jurulatih Robert Alberts berkata, ini bersandarkan pada persediaan selama tiga minggu bagi menghadapi kejohanan yang julung kali diadakan itu apabila pemain mencatat kemajuan.

Apa yang ketara, kata Alberts, pemain kini cukup bersemangat dan gandingan sesama mereka juga semakin serasi.

Jelas jurulatih kelahiran Belanda itu, pemain kini memiliki motivasi yang tinggi dan sudah bersedia untuk beraksi dalam kejohanan yang paling mencabar pernah mereka rasai.

“Sepanjang tiga minggu menjalani latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan, para pemain sudah bersedia untuk memberi cabaran kepada pasukan handalan dunia yang sebaya.

“Pemain kita memang sedar akan hakikat bahawa pasukan yang bakal ditentang bukanlah calang-calang lawan tetapi ia bukan alasan untuk Malaysia menjadi pasukan belasahan,” katanya selepas latihan pasukan Malaysia di Stadium Negeri di sini, semalam.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan C pada Piala CYC bersama Bayern Munich, Chelsea dan PSV Eindhoven beraksi di Stadium Sarawak.

Pasukan negara akan memulakan kempen Piala CYC menentang Bayern Munich esok pada pukul 6.46 petang.

Tambah Alberts, dia juga berpuas hati dengan keupayaan pemain yang cepat membaca permainan dan ia terserlah dalam tiga perlawanan persahabatan sebagai persediaan ke Piala CYC.

Skuad muda negara mencatat keputusan kalah 1-2 kepada pasukan Liga Super, Kedah, diikuti seri 1-1 dengan skuad Piala Presiden Kedah dan pasukan naib juara Liga Super, Perak dalam tiga perlawanan persahabatan.

“Sepanjang perlawanan, pemain meningkatkan persefahaman dan memperbaiki kelemahan.

“Keputusan perlawanan persahabatan itu saya sifatkan memihak kepada pemain Bawah 19 Tahun negara kerana lawan mereka adalah pasukan terbaik di Malaysia,” katanya.

Begitupun Alberts meminta supaya pasukan negara ke Piala CYC tidak disamakan dengan pasukan senior kebangsaan yang dikritik hebat ekoran persembahan memalukan pada kejohanan Piala Asia, baru-baru ini.

Katanya, walau apa pun keputusan yang akan dicatat oleh pasukan Bawah 19 tahun negara, kritikan bukanlah jalan membangunkan masa depan bola sepak negara.

“Pasukan Bawah 19 Tahun negara berdepan dengan pemain yang dibayar gaji sehingga beribu-ribu ringgit sebulan, malah ada pemain lawan yang menerima gaji mencecah angka juta.

“Dari situ anda boleh nilai di mana tahap dan keupayaan pemain yang bakal disaingi oleh pemain muda kita,” katanya

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vHyQeBdo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan