Isnin, 16 Oktober 2017

Skuad Rajagopal tarik diri



ARKIB : 26/09/2007

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak kebangsaan bawah 19 tahun sah menarik diri daripada menyertai kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang dijadualkan berlangsung di China pada 6 hingga 18 November depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ini kerana lapan pemain utama skuad yang dikendalikan oleh K. Rajagopal itu akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula 12 November ini.

Bercakap kepada Bernama semalam, beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad yang juga pengurus pasukan itu bahawa pasukan tersebut telah menarik diri daripada menyertai pusingan kelayakan itu.

Pemain-pemain terbabit yang akan menduduki peperiksaan SPM terdiri daripada Shafizal Hafizzie, Yusairi Che Saad, Mohd Syahid Zaidan, Mohd Nazrin Baharuddin, K. Sarthya, G. Gurusamy, Ahmad Aminuddin Saharuddin dan Bashrul Abu Bakar.

Azzuddin berkata, Redzuan telah menghantar surat rayuan kepada AFC bagi mengubah jadual perlawanan namun permohonannya itu ditolak.

‘‘Tak guna kita menyertainya jika tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik. Kita tidak mahu kalah teruk kepada lawan dengan jumlah jaringan besar seperti 6-0 atau 7-0,” kata Azzuddin.

Pada pusingan kelayakan itu, Malaysia diletakkan dalam kumpulan F bersama tuan rumah China selain empat negara lain iaitu Korea Utara, Macau, Timor Leste dan Singapura.

Ketika ditanya mengenai hubungan FAM dengan AFC akibat penarikan diri itu, Azzuddin berkata, ia terpulang kepada badan induk bola sepak Asia itu kerana tindakan itu dibuat setelah surat rayuan ditolak.

Sementara itu, Rajagopal berkata, tindakan FAM itu perlu memandangkan lapan pemain itu merupakan pemain utama dan tulang belakang pasukannya yang telah berlatih bersama sejak awal tahun ini.

‘‘Mereka telah berjaya membentuk persefahaman yang mantap setelah mengharungi dua kejohanan antarabangsa iaitu Kejohanan Piala ASEAN bawah 20 tahun dan Piala Hassanal Bolkiah,” katanya.

– Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vfxK3Ixe
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan