Jumaat, 13 Oktober 2017

Azraai calon kerusi panas



ARKIB : 14/08/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD 
PETALING JAYA – Dua jurulatih tempatan dicalonkan untuk melatih skuad negara bagi menghadapi pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia dengan Majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), akan memutuskan penyandang ‘kerusi panas’ itu, Ahad ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, terlalu suntuk untuk mendapatkan khidmat jurulatih asing bagi mengemudikan skuad negara tetapi dua calon berkenaan akan dinilai dari segi pengalaman dan pencapaian mereka dan pasukannya sepanjang Liga Malaysia.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan calon pengganti Norizan Bakar itu dari kalangan Azraai Khor Abdullah, Abdul Rahman Ibrahim, Dollah Salleh atau Yunus Aliff kerana Majlis FAM mungkin mempunyai calon lain untuk dikemukakan pada mesyuarat itu.

“Jawatan jurulatih skuad negara juga bukan hanya bersifat sementara khusus bagi Kelayakan Piala Dunia (dua perlawanan pusingan pertama 8 dan 28 Oktober ini),” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Azraai, bekas pemain skuad negara pada Piala Asia Tehran 1976, dikatakan berpeluang cerah untuk menjawatnya selepas berjaya menerajui Kedah menjulang Piala FA dan kejuaraan Liga Super sambil kini memburu Piala Malaysia pula.

Khidmat Norizan dan dua penolongnya, Nasir Yusof dan Lim Chuan Chin berakhir sesudah kalahnya Malaysia 5-1, 5-0 dan 2-0 kepada China, Uzbekistan dan Iran dalam Kumpulan C pusingan akhir Piala Asia di Kuala Lumpur, bulan lalu.

Andaian

Malaysia yang diundi sebagai pilihan ke-31 daripada 43 negara Asia ke Kelayakan Piala Dunia 2010, mengunjungi Bahrain di Manama dalam pusingan pertama sebelum menanti kedatangan pilihan keenam itu pada 28 Oktober ini.

Redzuan turut menolak andaian sama ada FAM akan menaikkan pangkat dua jurulatih skuad belia negara sekarang, B. Sathianathan (Bawah 23 Tahun) dan K. Rajagopal (Bawah 19 Tahun) sebagai jurulatih skuad senior Malaysia.

“Mereka yang bernaung di bawah FAM sekarang, sudah mempunyai tugasan tetap (termasuk Pengarah Teknikalnya, Robert Alberts - jurulatih skuad Bawah 19 Tahun yang beraksi baik dalam Piala Juara-juara Belia (CYC),” katanya.

Kata Redzuan, pilihan untuk mencari jurulatih skuad negara dari kalangan warga asing bagaimanapun masih terbuka dan bergantung kepada kemampuan kewangan FAM serta prestasi skuad negara menentang Bahrain dalam kelayakan itu.

“FAM juga memutuskan penubuhan Jawatankuasa Pemilihan dalam mendapatkan maklum balas mengenai pemilihan pemain negara daripada jurulatih negeri dan kelab liga biarpun ketua jurulatih diberikan kebebasan dan kuasa untuk memilih,” katanya.
Kongsi Konten di :

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0814&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vOJCmeCC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan