ARKIB : 08/12/2007
KORAT Bek tengah skuad bola
sepak negara, Aidil Zafuan Radzak masih terbayang kenangan beraksi tanpa adik
kembarnya, Zaquan Adha Radzak dalam Kejohanan Belia Asia di India, tahun lalu
apabila menghadapi Singapura dalam perlawanan Kumpulan B bola sepak lelaki
Sukan SEA, hari ini.
Kata pemain berusia 20 tahun
kelahiran Negeri Sembilan ini, ketiadaan saudaranya itu dalam saat segenting
dan penting ini cukup terasa apatah lagi aksi di Stadium Universiti Teknologi
Suranaree merupakan yang pertama baginya selepas menjalani penggantungan dua
perlawanan.
Saya terasa seperti ketika
kejohanan di India itu. Saya turun tanpa Zaquan yang ketika itu baru menjalani
pembedahan akibat kecederaan lutut. Kami sudah berusaha dan bersedia sejauh
itu, malangnya salah seorang tidak dapat bermain.
Saya pula baru berpeluang
bermain (kerana kad merah dalam Kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain, 28
Oktober lalu) tetapi saya percaya, jurulatih akan membuat pilihan yang tepat
untuk mengambil alih tempat Zaquan sebagai penyerang, katanya.
Tanpa Zaquan di India, Malaysia
kalah kesemua perlawanan iaitu kepada Vietnam, Arab Saudi dan Iraq tetapi
prestasi adik kembar Aidil itu didapati semakin meningkat sejak Malaysia
dikalahkan Vietnam 3-1, Sabtu lalu dan membenam Laos 4-0, Isnin lalu.
Malaysia akan berentap dengan
Singapura bukan sahaja dalam perebutan tiket ke separuh akhir bahkan penentuan
juara dan naib juara Kumpulan B sambil perlu menanti kesudahan antara Vietnam
dengan Laos di Stadium Perbandaran Korat, hari ini.
Satu lagi kekalahan bererti
anak buah B. Sathianathan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Korat,
menyusuli langkah longlai skuad wanita yang sudah tersingkir lebih awal selepas
dibelasah Thailand 6-0 dan Myanmar 5-0.
Sementara itu, Sathianathan
tidak kisah sejauh mana kerja rumah atau intipan jurulatih Singapura, Radojko
Avramovic terhadap pasukan Malaysia sepanjang tempoh rehat selepas dua
perlawanan di Korat selama lima hari ini.
Kami akan turun seperti biasa
dengan perancangan tertentu dan misi mahu menang. Seri bukan pilihan kami
(walaupun membantu jika Laos mengikat Vietnam). Saya sudah biasa dengan
taktikalnya terutama ketika Pestabola Merdeka, Ogos lalu.
Saya fikir dia juga mengenali
ramai pemain pasukan walaupun saya mungkin membuat rombakan barisan terutama
penyerang selepas kehilangan Zaquan, Amirulhadi Zainal (sayap kanan) dan Azi
Shahril Azmi (ketua pasukan), katanya.
Malaysia lebih produktif dalam
membolosi lawan dengan mengumpul lima gol menerusi Chun Keng Hong, Amirulhadi,
Safee Sali (dua) dan Safiq Rahim sementara Singapura yang diikat 0-0 oleh Laos,
sekadar beroleh dua gol sendiri pemain Vietnam ketika menang 3-2.
Sementara itu, Avramovic dari
Serbia menganggap ketiadaan Zaquan yang bakal digantikan oleh Norshahrul Idlan
Talaha, satu berita gembira buat anak buahnya yang turut kehilangan pemain
tengah bertahan, Isa Halim kerana kad merah ketika menentang Vietnam.
Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz4w3Ao9MVP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan