Selasa, 17 Oktober 2017

Apa dah jadi FAM?



 
ARKIB : 15/11/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
SULTAN Ahmad Shah (empat dari kanan) beramah mesra dengan skuad bola sepak Bawah 23 Tahun Malaysia yang akan beraksi pada Sukan SEA di Korat, Thailand sebelum sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. – Gambar SAHARUDDIN ABDULLAH.

PETALING JAYA – Kelewatan sekretariat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan pembatalan perlawanan persahabatan menghadapi Sukan SEA Korat antara skuad Bawah 23 Tahun negara dengan skuad kebangsaan Yemen di sini, semalam, wajar diatasi segera.

Ia bukan sahaja menghampakan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah untuk menyaksikan perlawanan di Stadium Petaling Jaya itu bahkan ketua jurulatih negara, B. Sathianathan yang terpaksa mengubahnya kepada cuma sesi latihan biasa di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sultan Pahang itu hanya mampu mengadakan sesi pertemuan dengan pasukan sebelum bergegas pulang manakala beberapa wakil media yang mahu membuat liputan perlawanan, hanya kebingungan di stadium seperti menanti buah yang tidak gugur.

Sathianathan turut kecewa dengan Yemen yang hanya memaklumkan pembatalan itu menerusi faks pada saat-saat akhir atas alasan mereka gagal mendapatkan penerbangan dan kini cuma berbaki tiga perlawanan persahabatan untuk menguji anak buahnya.

“Saya diberitahu bahawa skuad Bawah 23 Tahun Indonesia bersetuju menentang kita pada 26 November ini selain jadual persahabatan asal, menentang skuad kebangsaan Maldives (Sabtu ini) dan skuad Olimpik Bostwana (21 November),” katanya.

Pindaan jadual itu juga memaksanya menunda pemilihan terakhir skuad ke 26 November ini selepas cuba menyesuaikan mereka dengan perubahan jadual makan dan tidur supaya sejajar dengan jadual perlawanan di Korat pada pukul 1.30 dan 4.30 petang.

“Saya baru pulang dari Korat selepas persahabatan dengan Thailand, Ahad lalu (berkesudahan 1-1), dan mendapati suhunya sekitar 28 darjah Celsius yang sedingin Cameron Highlands manakala keadaan ketiga-tiga gelanggangnya cukup cantik.

“Saya hanya mempertikaikan sepak mulanya kerana jadual Kumpulan A tidak seperti kumpulan kami dan bukannya kerana takutkan panas atau cuacanya,” katanya yang akan ke Hanoi untuk mengintip aksi Vietnam menentang Jepun dalam Kelayakan Olimpik, esok.

“Saya ke Hanoi untuk menambah makluman terbaru tentang Vietnanm. Intip-mengintip ini lumrah dalam bola sepak. Ketika kami menentang Thailand di Bangkok, saya perasan jurulatih Vietnam, Alfred Riedl (dari Austria) turut menyaksikan perlawanan itu,” katanya.

Tanpanya di sini, penolong jurulatih, Zaki Sheikh Ahmad akan memangku tugas menerajui pasukan menghadapi Maldives di Stadium Petaling Jaya, 4.30 petang ini. Dua lawan Kumpulan B di Korat ialah Singapura dan Laos manakala Thailand, Myanmar, Indonesia dan Kemboja di Kumpulan A.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Azzuddin Ahmad mengesahkan pelantikan bekas pegawai Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Saifuddin Abu Bakar sebagai Penolongnya dalam pertemuan dengan Sultan Ahmad semalam tetapi satu lagi jawatan berkenaan masih dibiarkan kekosongan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vpGoe7e0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan