Selasa, 17 Oktober 2017

Asraruddin tetap ke PSV Eindhoven



ARKIB : 08/11/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
 
Asraruddin Putra Omar (kanan) mendapat ucapan tahniah Setiausaha Agung FAM, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad kerana ditawarkan berlatih di PSV Eindhoven selepas sidang akhbar di MSN, Bukit Jalil, semalam.

KUALA LUMPUR – Gifted Group Limited menamatkan teka-teki status bek tengah remaja negara, Asraruddin Putra Omar ke kelab Belanda, PSV Eindhoven sejak pertengahan bulan lalu, dengan bersetuju mengendalikan dan membiayai pemergiannya mulai 16 hingga 24 November ini.

Malah dua mesyuarat penganjur Piala Juara-juara Belia (CYC), Ogos lalu itu dengan Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) termasuk semalam meluluskan pemergian penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat ke sana dan diiringi bekas penolong jurulatih negara, Nasir Yusof.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, Asraruddin dan Khairul akan berlatih dan menjalani ujian pemilihan rasmi dengan kelab Bawah 19 dan 23 Tahun PSV Eindhoven pada 19 dan 24 November ini berdasarkan penilaian seorang jurulatih pencari bakatnya ketika CYC.

“Mereka juga akan diturunkan dalam perlawanan persahabatan 21 November,” katanya yang berharap kesanggupan Gifted itu dapat menjelaskan kekeliruan berhubung kenyataan Pengarah Teknikal FAM, Robert Alberts sebelum ini bahawa masalah kewangan yang menghalang pemergian pemain Selangor itu lebih awal.

Kata Zolkples, “pemergian mereka diharap menjadi permulaan baik dalam membentuk skuad kebangsaan yang mantap kerana selepas ini kita mungkin menyusul dengan menghantar penyerang atau pemain posisi lain.

Asraruddin, kelahiran Kuala Selangor bermain sebagai penyerang dan sayap kiri Bawah 20 Malaysia selain bek tengah atau pemain tengah bertahan dalam CYC.

Dia dan Khairul pernah membantu skuad Bawah 20 Malaysia menjuarai Piala Lion City 2004 dan layak ke Piala Asia Bawah 17.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vokQW300
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan