Selasa, 3 Oktober 2017

Khairy pertahan skuad negara



ARKIB : 14/07/2007

Oleh: AZRAN FITRI RAHIM

MACHANG – Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin tetap mempertahankan pengurusan dan jurulatih skuad negara meskipun dibelasah China 5-1 pada erlawanan pembukaan Piala Asia, Selasa lalu.

Khairy berkata, kekalahan tersebut tidak boleh diletakkan ke atas bahu jurulatih, Norizan Bakar dan para pemainnya semata-mata.

‘‘Saya memang kecewa dengan kekalahan yang memalukan itu tetapi Cikgu Norizan dan pengurusan FAM tidak boleh disalahkan kerana kita perlu menerima hakikat setakat ini saja standard pemain negara.

‘‘Kesemua pemain yang dipilih mewakili Malaysia adalah pemain terbaik yang ada di negara ini tetapi jika itu tahap permainan yang ditunjukkan mereka kita harus menerimanya.

‘‘Kita ketandusan pemain yang hebat kerana cara untuk mencungkil dan mengilap bakat baru dari peringkat akar umbi tidak betul,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekalahan memalukan negara pada perlawanan pembuka tirai menentang China di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.

Khairy berkata, jika menukar pengurusan, jurulatih dan pemain sekali pun ia tidak akan mengubah prestasi skuad bola sepak negara kerana apa yang ada sekarang adalah yang terbaik di negara ini.

‘‘Hanya setakat ini keupayaan kita untuk bermain bola, saya beri tempoh 10 sehingga 15 tahun lagi untuk melihat skuad bola sepak negara kita menunjukkan prestasi sebanar,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah rakyat di negara ini tidak pandai bermain bola sepak, Khairy menjelaskan, negara mempunyai pemain muda berbakat tetapi mereka tidak mendapat asuhan yang baik dari peringkat akar umbi.

‘‘Jika mahu melihat Malaysia berjaya di peringkat antarabangsa, perubahan perlu dibuat diperingkat akar umbi untuk memastikan bakat yang ada dapat diasuh dengan sebaik mungkin.

‘‘Saya melihat kesilapan utama kita adalah tidak dapat mendidik bakat baru yang ada supaya muncul sebagai pemain bertaraf dunia,” katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4uRp1kEcy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan