Isnin, 16 Oktober 2017

Malaysia mesti menang 3-0 - Perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Bahrain



ARKIB : 28/10/2007

Oleh: NORZIE MOHD. KHASBI

KUALA LUMPUR – Terdesak dengan kekalahan 1-4 di Manama minggu lalu, Malaysia akan bertemu Bahrain sekali lagi dengan taktik lebih menyerang apabila berentap pada perlawanan kedua peringkat pertama bola sepak kelayakan Piala Dunia 2010 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Meskipun berada dalam kedudukan kritikal selepas ketinggalan tiga gol, namun anak-anak buah B. Sathianathan belum berputus asa dan berazam untuk mencari kemenangan dalam misi yang dianggap mustahil.

Sathianathan masih berharap kemenangan mampu dilakar, biarpun sedar misi yang harus dilengkapkan adalah mencari keputusan 3-0 dan untuk memastikan strateginya dapat berjalan lancar, dia mungkin melakukan perubahan kecil dalam kesebelasan pasukan.

‘‘Kami akan melakukan sedikit perubahan untuk membolehkan pasukan lebih banyak menyerang, kami tidak turun untuk menanti dan bertahan tetapi kami mahu mencari gol.

‘‘Walaupun ketinggalan dengan tiga jaringan, namun pemain masih bersemangat tinggi dan berharap dapat memburu lebih banyak gol bagi menghidupkan kembali harapan.

‘‘Kami akan berhabis-habisan untuk memburu kemenangan dan saya harap penyokong akan terus memberi sokongan kepada skuad kebangsaan,’’ katanya.

Sementara itu, ketua pasukan kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah berkata, hanya kemenangan kini bermain di fikiran dia dan rakan-rakan sepasukan, meski pun tidak memikirkan jumlah gol.

Katanya lagi, walau pun dia tidak mampu memberikan jaminan bahawa Malaysia akan memenangi perlawanan malam ini, namun satu-satunya jaminan yang boleh diberikan ketika ini adalah, pemain-pemain negara akan memberikan aksi lebih daripada 100 peratus.

‘‘Sama ada kami menang dengan tiga gol ke atas Bahrain atau tidak, itu perkara kedua. Yang paling penting, kami mesti menang.

‘‘Saya melihat perlawanan ini daripada perspektif bahawa kami akan bermain di gelanggang sendiri, jadi kami harus turun untuk mencari kemenangan - kami mesti melakukannya di depan penyokong sendiri.

‘‘Apa yang penting, pemain-pemain kita mencuba sedaya upaya untuk mencabar lawan mereka dan buat kali pertama dalam tempoh yang agak lama, saya berasa sangat bangga berada dalam skuad kebangsaan.

‘‘Sukar untuk memberi sebarang jaminan ketika ini, namun satu-satunya jaminan yang dapat saya beri, kami akan mempamer aksi lebih daripada 100 peratus apabila menentang Bahrain esok,’’ kata Zamani.

Katanya lagi, sejak kekalahan minggu lalu, pasukan negara bekerja keras memperbaiki kesilapan defensif yang menyebabkan mereka kalah pada peringkat pertama di Manama.

Bagaimanapun, tegas Zamani, pemain negara tidak harus dipersalahkan sepenuhnya kerana sebahagian besar daripada mereka adalah pemain skuad bawah-23 sedang kan Bahrain memiliki barisan yang sangat berpengalama,n katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vkGNTfAM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan