Jumaat, 20 Oktober 2017

Subramaniam pikul tugas ketua pasukan



ARKIB : 07/12/2007

KORAT – S. Subramaniam mendapat kepercayaan sebagai ketua pasukan baru skuad Bawah 23 Tahun Malaysia untuk menghadapi Singapura dalam perlawanan Kumpulan B esok dalam memburu tempat ke separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Korat.

Tertarik dengan kemampuan menggalas tugas itu ketika mengambil alih daripada Azi Shahril Azmi, Isnin lalu, jurulatih negara, B. Sathianathan sekali lagi mengharapkan pemain Perak ini dapat meneruskannya di Stadium Universiti Teknologi Suranaree.

“Kami terpaksa melupakan khidmat Azi kerana kecederaan pahanya yang memerlukan lebih banyak masa untuk berehat dan Subramaniam layak memikul tugas itu,” katanya selepas sesi latihan di Padang Pangkalan Tentera Udara Thailand, semalam.

Sebagai rekod, Subramaniam juga pernah diberikan kepercayaan oleh Sathianathan selaku ketua pasukan ketika Kelayakan Olimpik antara Februari hingga Jun lalu terutama ketika kemerosotan prestasi seorang lagi bek tengah Perak, Ahmad Azlan Zainal.

Malaysia mesti menewaskan republik jiran itu untuk mara ke separuh akhir selepas mengumpul tiga mata daripada dua perlawanan tetapi jika seri, perlu menanti sama ada Laos mampu turut mengikat Vietnam.

Selepas membenam Laos 4-0 dan dikalahkan Vietnam 3-1, tempat anak buah Sathianathan dalam separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B akan terjamin biarpun seri dengan Singapura kerana perbezaan jaringan yang menyebelahi kita.

Bagaimanapun Malaysia masih kehilangan seorang lagi sayap kanan Amirulhadi Zainal yang tercedera di kaki kiri dalam perlawanan dengan Laos di mana pemain itu turut menyumbang gol.

Hanya Azi merupakan pemain skuad pemenang pingat gangsa Sukan SEA Filipina 2005 tetapi diketepikan ketika menentang Vietnam dan hanya bermain empat minit dengan Laos sebelum terpaksa meminta dikeluarkan kerana kecederaan paha.

Sebelum itu, penjaring dua gol setakat ini, Safee Sali sempat menyarung lilitan lengan pasukan sehingga dia kadangkala seperti agak terbeban dengan tugas baru itu selain perlu menunaikan tugas membocori gawang Vietnam, Sabtu lalu.

Walaupun tanpa Amirulhadi, Sathianathan masih mampu menarik nafas lega dengan kehadiran semula Nor Farhan Muhammad yang baru pulih daripada kecederaan buku lali sejak perlawanan persahabatan dengan PKNS.

“Akibat penggantungan satu perlawanan Zaquan Adha Radzak, saya mungkin meletakkan Norshahrul Idlan Talaha sebagai gandingan baru Safee di depan,” katanya yang masih membuka pilihan lain di situ antara Samransak Kram dan Safiq Rahim.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_10.htm#ixzz4w358KDTo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan