Jumaat, 20 Oktober 2017

FAM buat post-mortem



ARKIB : 10/12/2007

ROMPIN – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan sewenang- wenangnya mengaku kalah terhadap prestasi hambar yang dipamerkan oleh pasukan kebangsaan pada kejohanan Sukan SEA di Korat, Thailand setelah Malaysia terpaksa pulang awal ekoran gagal melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.

Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah bertitah, post-mortem akan dilakukan bagi meneliti semula prestasi terkini skuad negara.

“Saya tidak akan mengaku kalah, Saya bersama timbalan, Khairy Jamaluddin akan membuat post-mortem bagi mencari kelemahan pasukan negara ketika beraksi di Korat,” titah baginda kepada pemberita selepas melawat pembinaan jambatan bailey oleh Regimen Askar Jurutera Diraja di Felda Selancar, di sini semalam.

Menurut baginda, kekalahan Malaysia kepada pasukan Vietnam dalam pertemuan pertama skuad kebangsaan pada kejohanan itu sememangnya amat mengecewakan.

”Saya sendiri menyaksikan perlawanan tersebut dan saya sedih melihat aksi mereka (pemain kebangsaan),” titah baginda.

Baginda yang hanya menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Singapura menerusi televisyen memberi jaminan bahawa FAM akan memastikan masalah yang membelenggu pasukan kebangsaan dapat diatasi dengan cara yang berkesan.

Keputusan seri 1-1 dengan Singapura pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menyaksikan skuad kebangsaan terpaksa pulang awal setelah hanya menduduki tangga ketiga kumpulan di belakang Vietnam dan Singapura.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_12.htm#ixzz4w3GbZ3qP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan