Rabu, 4 Oktober 2017

Vieira enggan komen skuad Malaysia



ARKIB : 25/07/2007

KUALA LUMPUR - Seolah-olah masih terluka dengan cara layanan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tiga tahun lalu, jurulatih Iraq, Jorvan Vieira menolak untuk bercakap tentang pencapaian teruk skuad negara sepanjang pusingan akhir Piala Asia ke-14 ini.

Vieira, warga Brazil yang dipecat FAM ketika beberapa hari menjelang Kejohanan Belia Asia di Johor Bahru pada 2004 dan digantikan oleh K. Rajagopal berkata, dia tidak berhak atau mempunyai kuasa untuk membicarakan persembahan sebarang pasukan selain Iraq.

‘‘Mereka (Malaysia) ada jurulatih dan telah membuat persediaan sendiri ke Piala Asia. Saya fikir saya tidak berhak bercakap tentang pasukan lain. Malaysia bukan masalah dan majikan saya lagi,” katanya.

Sebaliknya, Vieira, 54, hanya berkata, dia mempunyai ramai kawan yang turut diibaratkannya keluarga di sini sepanjang tempoh tiga tahun membentuk skuad Bawah 20 Tahun Malaysia sebelum dipecat gara-gara kekalahan besar anak buahnya dalam satu kejohanan.

Pada sidang akhbar di Hotel Prince di sini, semalam, dia bagaimanapun mendakwa: ‘‘Sehingga kini saya telah mendapat tawaran tiga kelab dari Korea Selatan walaupun mungkin terlalu awal untuk bercakap tentang masa depan dengan pasukan Iraq.

‘‘Selalunya selepas tugasan besar selesai, saya akan pulang untuk bercuti bersama keluarga kemudian barulah membuat sebarang keputusan. Setakat ini saya mempunyai hubungan baik dengan Persatuan Bola Sepak Iraq (IFA) tetapi sama ada saya kekal atau tidak selepas Piala Asia, belum pasti lagi.”

Vieira yang dilantik melatih Iraq pad 24 Mei lalu, memulakan karier pemainnya di kelab Vasco da Gama, Botafogo dan Portuguesa sebelum beralih sebagai jurulatih Qatar Sports Club, bawah 20 Oman, Forces Armees Royales Rabat Maghribi, Wydad Athletic Club, TAS Tihad Casablanca dan Ittihad de Tanger.

Dia yang menggantikan jurulatih Iraq, Hussain Saeed yang terpaksa meletak jawatan kerana menerima ugutan bunuh di negara yang bergolak itu, turut menjadi penolong pengurus Maghribi pada Piala Dunia Mexico 1986, kelab Al Qadisiya Kuwait, Ismaili Mesir, Al Nasr Oman dan Al Taei Arab Saudi.

SUMERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4uXmsk0rl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan