Khamis, 12 Oktober 2017

Lagi ujian berat menanti



ARKIB : 07/08/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Selepas hanya menjadi budak belasahan Piala Asia, baru-baru ini, Malaysia berada di ambang satu lagi penyingkiran awal apabila menghadapi laluan getir bertemu Bahrain dalam pusingan pertama bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2010, Oktober ini.

Malaysia yang masih tidak mempunyai jurulatih apabila tugas Norizan Bakar ditamatkan selepas dikalahkan Iran 2-0, diundi berdepan Bahrain yang sempat menundukkan Korea Selatan 2-1 tetapi menduduki tempat tercorot Kumpulan D Piala Asia, bulan lalu.

Skuad negara diletakkan sebagai pasukan pilihan ke-31 daripada 43 negara Asia oleh Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), semalam, mungkin mempunyai sedikit kelebihan apabila akan bermain di gelanggang lawan terlebih dulu iaitu pada 8 Oktober ini.

Malaysia kalah 3-1 kepada Bahrain di Manama dalam pertemuan terakhir mereka ketika pusingan kelayakan Piala Asia 2003. Lawan juga hampir mara ke Piala Dunia 2006 jika tidak kalah dalam penentuan dengan wakil CONCACAF, Trinidad & Tobago.

Majlis undian oleh Pengarah Pertandingan yang juga Penolong Setiausaha Agung AFC, Carlo Nohra di Wisma AFC, Bukit Jalil ini menetapkan Bahrain, pilihan keenam, bertandang ke Malaysia pada perlawanan kedua pusingan pertama, 28 Oktober ini.

Kedudukan dan pemilihan kesemua negara anggota AFC bagi Kelayakan Piala Dunia Asia kali ini, ditentukan daripada pencapaian dan keputusan pada pusingan akhir Piala Dunia 2006 dan pusingan kelayakan dua tahun sebelumnya.

Malaysia kalah kesemua perlawanan pusingan kedua kelayakan 2004 kepada China (1-0 di Pulau Pinang dan 4-0 di Tianjin), Hong Kong (3-1 di Kuantan dan 2-0 di Hong Kong) dan Kuwait (2-0 di Kuantan dan 6-1 di Kuwait). Kita tidak pernah mara ke pusingan akhir sejak menyertainya pada 1973.

“Saya fikir bukan satu masalah untuk negara Islam menempuh perlawanan pertama (8 Oktober) dalam Ramadan kerana ada di antara mereka yang sudah biasa dengan Liga Juara-juara Asia dan Piala AFC yang turut dijalankan dalam bulan itu,” kata Nohra.

Tegasnya yang juga warga Lebanon, “negara berkenaan bagaimanapun masih diberi kelonggaran untuk melangsungkan perlawanan itu agak lewat iaitu dua jam selepas waktu berbuka puasa dan ada kemungkinan sehingga pukul 10 malam ke atas.”

Malah dalam peraturan pertandingan AFC seperti yang dipetik daripada laman webnya, kedua-dua tarikh perlawanan pusingan pertama secara kalah mati itu masih boleh dipinda oleh kedua-dua pasukan asalkan sempat dijalankan sebelum 28 Oktober.

Australia yang mara ke pusingan kedua Piala Dunia di Jerman tahun lalu, mendahului lima pasukan terbaik pilihan AFC iaitu Korea Selatan, Arab Saudi, Jepun dan Iran yang mendapat laluan automatik ke pusingan ketiga kelayakan kali ini.

Iraq, juara baru Piala Asia ke-14 dan diletakkan sebagai pilihan ke-12 dalam Kelayakan Piala Dunia, diundi berkunjung ke Pakistan dalam perlawanan pertama 8 Oktober tetapi menghadapi masalah ketiadaan gelanggang sendiri apabila melangsungkan perlawanan kedua.

Kata Nohra, “dua lagi negara yang tidak mempunyai kemudahan gelanggang sendiri ialah Afghanistan dan Palestin (kerana senasib Iraq yang dibelenggu perang dan sengketa dalaman). Mereka mungkin perlu mencari gelanggang berkecuali.”

Perlawanan pusingan kedua juga secara kalah mati timbal balik ditetapkan pada 9 dan 18 November; pusingan ketiga bermula 6 Februari dan berakhir 10 September 2008 sementara pusingan keempat tanggal 15 Oktober hingga 9 September 2009.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vI0WLIhw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan