Sabtu, 14 Oktober 2017

Malaysia atau Myanmar?



ARKIB : 29/08/2007
Oleh AMRAN MULUP

Myanmar mengekalkan barisan yang sama ketika menewaskan Zimbabwe untuk menentang kesebelasan Malaysia pada perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka, hari ini.

Malaysia
SHAH ALAM – Kecederaan tiga pemain utama Mohd. Shukor Adan, Norfarhan Mohamed dan Mohd. Daudso Jamaluddin memberikan tamparan hebat kepada skuad kebangsaan menjelang pertemuan dengan penyandang juara Myanmar pada perlawanan akhir Kejohanan Pesta Bola Merdeka Edisi ke-39 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Yang pasti, perancang utama Mohd. Shukor akan diketepikan terus dalam kesebelasan utama kerana kecederaan serius di pangkal paha yang dialami sewaktu Malaysia menewaskan Singapura 3-1, kelmarin.

Kecederaan Norfarhan dan Mohd. Daudso pula tidak dianggap serius hanya dalam tempoh 48 jam menjelang pertemuan sengit dengan Myanmar akan menentukan sama ada pemain Terengganu itu akan diturunkan atau sebaliknya.

Jurulatih skuad kebangsaan, B. Sathiananthan berkata, ketiadaan dua pemain itu tidak sama sekali akan menjejaskan rentak permainan memandangkan barisan pemain simpanan mampu mengisi kekosongan tersebut.

‘‘Hasil pemeriksaan doktor perubatan kecederaan Mohd. Shukor tidak dapat pulih cepat dan tempatnya akan diambil oleh Azi Shahril Azmi.

‘‘Manakala kedudukan Norfarhan masih 50-50 dan jika dia tidak dapat diturunkan Mohd. Amirulhadi Zainal akan kembali semula ke posisinya,’’ ujar Sathianathan pada sidang akhbar di sini, semalam.

Biarpun tanpa dua tonggak utama itu, Sathianathan tetap berkeyakinan anak didiknya mampu mengekalkan rentak permainan seperti mana mereka menewaskan Singapura 3-1 di separuh akhir.

Buat jurulatih itu, tiada kesangsian terhadap keupayaan Mohd. Amirulhadi dan Azi Shahril mengisi kekosongan tersebut.

Ekoran persembahan paling mantap ditunjukkan oleh anak didiknya ketika membenam Singapura 3-1 untuk melangkah ke akhir, Sathianathan tetap berasa yakin Myanmar akan dapat dikalahkan.

‘‘Kita tewas 1-2 kepada Myanmar dalam saingan peringkat kumpulan kerana mereka menentang kita yang bermain dengan 10 orang.

‘‘Tetapi perlawanan akhir esok (malam ini) jelas berbeza dengan apa yang mereka hadapi minggu lepas dan kali ini barisan pemain saya akan memberikan aksi paling mantap,’’ ujarnya.

Myanmar
SHAH ALAM – Melihat kehebatan Malaysia menewaskan Singapura 3-1 kelmarin, penyandang juara, Myanmar secara rendah diri mengakui akan kehebatan sebenar skuad bimbingan B. Sathianathan menjelang pertemuan akhir Kejohanan Pesta Bola Merdeka Edisi ke-39 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Malah, Myanmar mengakui akan kekuatan sebenar Malaysia jauh lebih baik berbanding ketika pasukan itu menang 2-1 dalam perlawanan peringkat kumpulan, Selasa lalu.

Jurulatih Marcos Antonio Falopa berkata, keupayaan Malaysia membenam Singapura membuktikan skuad kebangsaan sudah cukup bersedia kali ini.

Menurut beliau, tidak mudah buat barisan pemainnya akan mengharungi perlawanan akhir paling mudah malam ini.

‘‘Selepas menewaskan Singapura, saya tidak nafikan persembahan skuad Malaysia jelas berbeza.

‘‘Mereka ada kekuatan tersendiri hingga boleh menyekat Singapura yang memiliki pemain lebih berpengalaman,’’ ujarnya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Menjelang pertemuan dengan Malaysia kata jurulatih itu lagi, mereka telah membuat persiapan rapi.

Walaupun menyedari saingan paling getir berdepan Malaysia, Antonio Falopa tetap berkeyakinan untuk menang dan mengekalkan gelaran yang disandang tahun lalu menerusi kesebelasan utama paling mantap ketika menewaskan Zimbabwe.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vV27lJz4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan