Jumaat, 6 Oktober 2017 | 6:01pm
PENYERANG Harimau Malaya,
Darren Lok sedia galas tugas selepas ketiadaan dua penyerang, Hazwan Bakri dan
Shahrel Fikri Md Fauzi akibat kecederaan. - Foto Osman Adnan
Hanya tinggal Darren Lok
senjata robek Hong Kong
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Malang menimpa
skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Hong Kong bagi aksi kelayakan
Piala Asia 2019 (10 Oktober), apabila jurulatih Nelo Vingada kehilangan dua
penyerang - Ahmad Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri Md Fauzi yang mengalami
kecederaan pangkal paha.
Hazwan tidak melaporkan diri
bersama lima lagi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), manakala Shahrel, (PKNP FC)
mendapat kecederaan itu ketika sesi latihan terakhir sebelum berlepas ke Hong
Kong, semalam.
Situasi itu menyebabkan Vingada
hanya memiliki seorang penyerang, Darren Lok (Johor DT) dalam senarai 21 pemain
untuk beraksi di Stadium Hong Kong pada perlawanan ketiga Kumpulan B kelayakan
Piala Asia 2019.
Bagi Darren, 26, dia cukup
sedia menggalas tugas itu meskipun mendapat kritikan selepas Harimau Malaya
seri 1-1 dalam pertemuan pertama dengan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka
5 September lalu.
"Ini perlawanan penting,
kami tidak mendapat keputusan yang diinginkan ketika menentang Hong Kong di
laman sendiri.
"Memang pada perlawanan di
Melaka, kami mempunyai peluang untuk menang. Sekarang kami sudah tahu permainan
mereka jadi kami mahu mencari kemenangan di sana," kata pemain berdarah
kacukan England ini.
"Kami tidak kalah dengan
Hong Kong di tempat sendiri, saya fikir kami tiada tekanan untuk meneruskan
misi untuk layak," katanya kepada Arena Metro.
Setakat ini, Darren sudah
beraksi dalam lapan perlawanan dan menjaringkan satu gol ketika Malaysia tewas
1-2 kepada Syria dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 22 Ogos lalu.
Bagaimanapun dia mengakui perlu
berusaha keras untuk menembusi benteng Hong Kong yang bakal dibarisi ramai
pemain naturalisasi.
"Mereka memang mempunyai
kekuatan fizikal. Walaupun mereka menurunkan pemain naturalisasi, itu tak
bermakna kita tidak boleh menewaskan mereka," kata bekas pemain kelab
England Eastbourne Borough FC itu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat,
6 Oktober 2017 | 6:01pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan