Isnin, 16 Oktober 2017

Ujian pecut ‘dera’ pemain

ARKIB : 17/10/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
SKUAD bola sepak negara memulakan sesi latihan menghadapi Bahrain dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2010 dengan larian memanaskan badan di Wisma FAM, Kelana Jaya. – Gambar ZAINI HUSIN.

PETALING JAYA – Cuti Aidilfitri selama tiga hari yang mendedahkan pemain dengan pelbagai makanan dan mempengaruhi berat badan, mendorong jurulatih skuad bola sepak negara, B. Sathianathan menjalankan ujian kecergasan yang mencabar sejak kelmarin.

Dua puluh enam pemain skuad negara dikerah mengharungi ujian larian ulang-alik sejauh 50 meter sebanyak tujuh kali di bawah 62 saat untuk memastikan kecergasan mereka menepati suasana perlawanan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia, Ahad ini.

“Sepatutnya tempoh itu direndahkan lagi sehingga bawah 60 saat tetapi saya beri sedikit kelonggaran sebab mereka pun baru pulang beraya,” katanya dalam sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya dengan dibantu jurulatih kecergasan, Rastislav Bozik dari Slovakia.

“Bola sepak moden sering mengutamakan kecergasan dan kepantasan. Jika melepasi tempoh ujian itu, bererti mereka sudah bersedia ke perlawanan itu,” katanya merujuk lawan yang menewaskan Malaysia 3-1 pada pertemuan terakhir ketika Kelayakan Piala Asia 2003 di Manama.

Malaysia akan menentang Bahrain dalam perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2010 di Stadium Kebangsaan, Manama sebelum menanti kunjungan balas pilihan keenam Asia itu di Stadium Shah Alam pada 28 Oktober ini.

Sathianathan hanya akan memilih 22 pemain, esok untuk memikul cabaran skuad Harimau Malaya ke Manama dengan ukuran utamanya ialah prestasi sepanjang siri perlawanan persahabatan dengan empat kelab Australia di Perth, baru-baru ini.

Dalam sesi sejak 2 hingga 9 Oktober lalu, Malaysia yang membariskan sebahagian besar pemain skuad Bawah 23 Tahun ke Sukan SEA Korat, Disember ini, menewaskan Perth Soccer 1-0 selepas kalah 3-1, seri 0-0 dengan Ashfield dan mengalahkan Floreat Athena 2-1.

Hanya kecergasan sayap kiri Indra Putra Mahayuddin dan sayap kanan Nor Farhan Muhammad kerana kecederaan menimbulkan keraguan tentang kedudukan mereka dalam senarai 22 pemain itu apatah lagi terpaksa direhatkan beberapa kali di Perth.

Sementara itu, Sathianathan memberitahu, pengurus pasukan yang juga bekas ketua pasukan kebangsaan era 80-an, Datuk Soh Chin Aun akan mewakili Malaysia menyaksikan majlis undian kumpulan acara berpasukan Sukan SEA Korat di Hotel Radisson, Bangkok, petang ini.

Malaysia merupakan pemenang pingat gangsa temasya dwitahunan di Filipina dua tahun lalu dan hanya pemain tengah dari Perlis, Azi Shahril Azmi yang masih membarisi skuad bimbingan Sathianathan sekali gus melayakkannya memimpin pasukan ke Korat.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vjadXTBm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan