ARKIB : 12/07/2007
PETALING JAYA Penjaga gol
negara, Azizon Kadir menerima sesi kaunseling khas dengan jurulatih penjaga
gol, Lim Chuan Chin gara-gara dibolosi lima gol ketika menentang China dalam
perlawanan Kumpulan C pusingan akhir bola sepak Piala Asia, kelmarin.
Azizon yang mengakui
semangatnya agak menurun dan amat kecewa akibat kekalahan di Stadium Nasional,
Bukit Jalil itu, berkata, dia dinasihatkan supaya lebih peka dengan gerak-geri
rakan di barisan benteng selain perlu tangkas memintas umpanan di udara.
Kali ini jurulatih mahukan
saya bergerak satu dua langkah ke depan sekiranya umpanan lintang yang membawa
gol mudah China itu, dihasilkan pasukan lawan, kata penjaga gol setinggi 1.84
meter dan berusia 27 tahun ini pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya,
semalam.
Azizon dibolosi dua jaringan
Han Peng, Wang Dong dan Shao Jiayi masing-masing pada minit ke-15, 55, 36, 51,
90 manakala Malaysia meraih gol sagu hati menerusi rembatan deras Indra Putra
Mahayuddin yang memanfaatkan tolakan Hairuddin Omar pada minit ke-72.
Menurutnya, keghairahan
menyerang untuk memburu gol awal juga mengakibatkan barisan belakang Malaysia
tidak mendapat bantuan secukupnya untuk menandingi asakan China yang banyak
memanfaatkan hantaran tinggi dan saiz besar pemainnya.
Gandingan saya dengan barisan
pertahanan sudah mantap tetapi selepas dua gol dilepaskan, kubu kita semakin
terdedah apatah lagi kita begitu leka untuk menyerang, katanya yang kali
pertama dibolosi sehingga lima gol yang terbesar dalam karier antarabangsanya.
Azizon menganggap skuad negara
terlalu menghormati China malah bermain seperti berada di tempat lawan
sedangkan masih ada kira-kira 30,000 penyokong yang tidak henti-henti menemani
perjuangan Malaysia yang tidak diberikan harapan untuk menang.
Dia bagaimanapun enggan
mengulas sama ada barisan benteng Malaysia perlu dianggotai lima pemain berbanding
empat kelmarin apabila menentang Uzbekistan dalam perlawanan kedua, Sabtu ini
kerana ia terserah sepenuhnya kepada percaturan jurulatih, Norizan Bakar.
Sementara itu, sesi latihan
semalam menyaksikan tiga pemain - Fauzie Nan, Eddy Helmi Manan dan Nor Farhan
Muhammad terpaksa dikecualikan kerana diserang demam manakala Aidil Zafuan
Radzak perlu menziarahi bapanya yang sakit.
Kata Norizan, walau apa pun
yang berlaku (dengan China), perjuangan perlu diteruskan dan kami perlu mengangkat
kepala (dengan Uzbekistan dan Iran pula). Pemain menyedari tiada siapa yang
boleh membantu lagi kecuali mereka sendiri.
Saya tidak fikir satu idea
yang baik untuk menukar formasi kepada lebih bertahan kerana kami masih
mempunyai pelan sebagai sebuah pasukan yang menyerang. Seperti dengan China,
ada ketikanya kami menyerang dan mencipta peluang, katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4uRN144q1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan