ARKIB : 27/10/2007
KUALA LUMPUR Rangkaian tiga
serangan akan menjadi nadi skuad bola sepak kebangsaan dalam usaha mencari
kemenangan apabila melayan kunjungan Bahrain pada perlawanan kedua pusingan
pertama kelayakan Piala Dunia 2010 Zon Asia di Stadium Shah Alam, malam esok.
Perubahan baru itu menggunakan
formasi 3-3-4 akan digunakan oleh jurulatih Sathianathan (gambar) dengan
tumpuan membentuk gandingan serangan paling tajam untuk mencari gol awal dalam
usaha memadamkan kelebihan tiga jaringan milik Bahrain.
Begitupun jurulatih itu terus
merahsiakan gandingan tiga serangan yang bakal memikul tanggungjawab berat
untuk memastikan pintu gol Bahrain di bocori di awal babak permainan.
Buat Sathiananthan, ada
kemungkinan beliau akan menurunkan gandingan Mohd. Safee Sali, Mohamad Zaquan
Adha Abdul Razak dan Indra Putra Mahayuddin.
Pada masa yang sama beliau
tetap membayangkan Khyril Muhymeen Zambri bakal mendapat kepercayaan.
Saya masih ada satu lagi sesi
latihan dan keputusan siapa akan diturunkan akan diketahui esok (hari ini).
Bermain di tempat sendiri
ketika kita ketinggalan dengan tiga jaringan saya lebih tertumpu kepada corak
menyerang habis-habisan, ujarnya, semalam.
Bagi memantapkan lagi skuad
kebangsaan beliau turut membayangkan sedikit perubahan di bahagian tengah dan
pertahanan tetapi terus merahsiakan rombakan yang akan dilakukannya.
Ujarnya, apa yang penting
pemain perlu mengelak daripada membuat kesilapan seperti mana yang berlaku
sewaktu kita tewas 1-4 kepada Bahrain di Manama.
Sathianantan membayangkan tiada
perkara mustahil dapat dilakukan anak didiknya untuk menewaskan Bahrain.
Mereka ada tiga gol menjadi
bekalan tetapi saya masih percaya pemain kita dapat memberikan saingan dan
mungkin juga mereka dapat mengejutkan Bahrain, tegas jurulatih itu lagi.
Beliau sedar misi hidup mati
skuad bimbingannya yang perlu mencari gol awal untuk mengurangkan defisit milik
Bahrain walaupun atas kertas kelebihan memihak kepada lawan.
Bagi jurulatih itu, beliau
tidak mahu kepincangan yang terjadi pada di Stadium Nasional Manama berulang
semula di Stadium Shah Alam.
Saya harap ia tidak terjadi.
Pemain sedar akan kesilapan mereka tempoh hari dan masing-masing berjanji untuk
mengelak daripada melakukannya, ujar Sathianathan.
Jurulatih kelahiran dari Negeri
Sembilan itu menyedari laluan getir dirintis oleh anak didiknya tetapi itu
bukan menjadi penghalang untuk pemain kebangsaan membuat kejutan.
Apa pun boleh terjadi dalam
perlawanan yang begitu getir. Sebagai jurulatih sudah pasti kemenangan yang
dituntut.
Saya tahu semua pemain
menyemat keazaman tinggi untuk melakukan yang terbaik di hadapan penyokong
sendiri seperti mana kita menjuarai Pesta Bola Merdeka.
Jika pemain melakukan
kesilapan kali kedua ini bermakna mereka telah menghampakan harapan peminat,
ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vkCjFEER
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan