Isnin, 2 Oktober 2017

Nasril dalam senarai penjaga gol simpanan



ARKIB : 03/07/2007

SHAH ALAM – Seorang lagi penjaga gol skuad Olimpik, Nasril Nourdin dipanggil menggantikan Syed Adney Syed Hussein sebagai mengisi salah satu daripada tujuh pemain simpanan ke pusingan akhir bola sepak Piala Asia yang bermula di Malaysia, 10 Julai ini.

Khidmat pemain berusia 20 tahun dari Perak itu dikehendaki sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kecederaan buku lali kanan Syed Adney, rakan sepasukannya dalam skuad Olimpik negara yang dialami ketika sesi latihan di Pulau Pinang pada Mei lalu.

Nasril bagaimanapun tidak akan menyertai sesi latihan skuad 23 pemain utama yang telah dipilih ke Piala Asia kecuali sekiranya berlaku sebarang masalah di luar dugaan khususnya kecederaan menjelang atau sepanjang pusingan akhir dari 7 hingga 29 Julai itu.

Kali terakhir dia mewakili negara ialah dalam siri dua perlawanan persahabatan dengan New Zealand pada 19 dan 23 Februari 2006 yang menyaksikan kekalahan skuad negara bimbingan Norizan Bakar itu 1-0 dan 2-1 di Christchurch dan Albany, Auckland.

Nasril merupakan penjaga gol utama skuad Olimpik bimbingan B. Sathianathan sebelum kemerosotan prestasi dan kecederaannya dalam kempen pusingan kedua kelayakan menentang Syria, Jepun dan Hong Kong mengakibatkan posisi itu disambar oleh Farizal Marlias dan Syed Adney.

Tanggal 17 Jun lalu, Norizan mengumumkan senarai 23 pemain ke Piala Asia termasuk dua penjaga gol, Azizon Kadir dan Suffian Abdul Rahman dan terpaksa melupakan khidmat pilihan utama, Syamsuri Mustafa yang digantung tiga bulan oleh Terengganu sejak 1 Mei.

Selain Syed Adney, enam lagi pemain senarai simpanan Piala Asia ialah S. Subramaniam, Ronny Harun, Rezal Zambery Yahya, Azi Shahril Azmi, Khyril Muhymeen Zambri dan Amirulhadi Zainal. Mereka tidak digugurkan terus malah diberi peluang bermain menentang Kemboja dalam persahabatan, 18 Jun lalu.

Kata Norizan, semalam, “Syed Adney didapati tidak sempat pulih dalam tempoh terdekat ini. Nasril tidak akan memasuki kem latihan tetapi cuma langkah berjaga-jaga kerana syarat AFC (Gabungan Bola Sepak Asia) menetapkan senarai simpanan juga perlu memiliki seorang penjaga gol.”

Pemilihan Nasril juga bukan satu kejutan kerana sesi latihan skuad negara ke beberapa tugasan antarabangsa sebelum ini seperti ke Pestabola Merdeka tahun lalu dan Kejohanan AFF, Januari lalu sentiasa menyelitkan namanya yang mengekori Syamsuri dan Azizon.

Namun keputusan Norizan yang turut mendapat pandangan jurulatih penjaga gol negara, Lim Chuan Chin itu memadam andaian bahawa Pemain Terbaik perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu, Helmi Eliza Elias yang menyekat dua penalti Perlis, bakal menggantikan Syed Adney.

Sementara itu, pengurus pasukan negara, Datuk Anifah Aman memberitahu, sebarang ganjaran kepada skuad negara sekiranya beraksi dengan cemerlang dalam Piala Asia dirahsiakan terlebih dulu supaya mereka dapat memberikan tumpuan penuh mengharungi China, Iran dan Uzbekistan dalam Kumpulan C.

Inilah kali pertama Malaysia layak bermain pada pusingan akhir atas tiket tuan rumah Piala Asia bersama Indonesia, Vietnam dan Thailand kerana kita pernah mara menerusi pusingan kelayakan 1976 dan 1980 malah nyaris ke separuh akhir jika bukan kerana perbezaan gol dan mata yang tipis peringkat kumpulan.

sUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4uLlMbtRv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan