Ahad, 15 Oktober 2017

Sathianathan terpaksa lupakan Shukor



ARKIB : 18/09/2007

Oleh AMRAN MULUP

PETALING JAYA – Khabar kurang menggembirakan buat skuad kebangsaan yang melapor diri semalam apabila perancang utama dan ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan mungkin diketepikan terus untuk menggalas cabaran menghadapi Bahrain pada pusingan kelayakan Piala Dunia, pada 21 dan 28 Oktober depan.

Laporan perubatan yang dijalani oleh Shukor di Wisma FAM semalam menghadirkan khabar kurang menggembirakan kerana kecederaan otot terkoyak di bawah perut yang dialami ketua pasukan Selangor itu masih belum pulih sepenuhnya.

Dia mengalami kecederaan itu ketika beraksi untuk skuad Bawah 23 tahun dalam saingan separuh akhir Pestabola Merdeka ketika menentang Singapura pada 28 Ogos lalu.

Jurulatih skuad kebangsaan, B. Sathianathan berkata, laporan perubatan mendapati kecederaan Shukor belum pulih sepenuhnya dan memerlukan tempoh untuk sembuh.

‘‘Apa pun saya perlu menunggu beberapa hari lagi untuk melihat perkembangan rawatan yang dijalani oleh Shukor.

‘‘Setakat ini peluangnya untuk bersama skuad kebangsaan adalah 50-50. Jika saya terpaksa mengetepikan khidmat Shukor memang menjejaskan bahagian tengah.

‘‘Dia (Shukor) adalah seorang pemain tengah yang paling berkaliber dalam skuad kebangsaan dan ia satu kehilangan yang amat besar menjelang pertemuan dengan Bahrain,’’ ujar Sathianathan ketika ditemui sejurus tamat sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.

Selepas kejayaan skuad bawah 23 menjuarai Pesta Bola Merdeka Ke-39 bulan lalu, barisan yang sama menjadi sandaran mengharungi cabaran getir menghadapi Bahrain pada pusingan kelayakan Piala Dunia, pada 21 dan 28 Oktober depan.

Skuad seramai 28 pemain yang terdiri dari gabungan pemain Bawah 23 Tahun dan empat pemain senior mula melapor diri dan terus menjalani latihan pada sebelah malam.

Selain Shukor yang dipanggil memantapkan skuad barisan muda negara itu, tiga lagi pemain senior yang dipanggil untuk berdepan Bahrain ialah Indra Putra Mahayuddin, K Nanthakumar dan Norhafiz Zamani Misbah.

Mengulas lanjut Sathiananthan berkata, sesi pertama latihan pada setiap malam bermula pukul 10.00 malam lebih tertumpu kepada aspek fizikal dan kecergasan.

Ujarnya, selepas itu pelatih kebangsaan akan berangkat ke Perth, Australia daripada 24 September hingga 10 Oktober untuk menjalani latihan kerana ia adalah sebahagian daripada persiapan menghadapi Bahrain.

Sewaktu kunjungan di Perth kata jurulatih itu, skuad kebangsaan dijadualkan beraksi dalam tiga perlawanan bertemu Pilihan Australia Barat pada 28 atau 29 September, pasukan Liga A, Perth Glory (2 Oktober), Ashfield (5 Oktober) dan Floreat Athena (9 Oktober).

“Latihan dua minggu di Perth, akan tertumpu kepada aspek kecergasan dan taktikal permainan,’’ ujar Sathianathan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0918&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vdaCvH2j
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan