ARKIB : 12/07/2007
Oleh Amran Mulup
KUALA LUMPUR 11 Julai
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) malu dengan kekalahan teruk skuad
kebangsaan kepada China dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C, Piala Asia di
Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Timbalan Presiden FAM, Datuk
Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad berkata, Malaysia tidak sepatutnya dibelasah China
1-5 sedangkan dua lagi pasukan tuan rumah iaitu Vietnam dan Indonesia mencapai
kemenangan.
Vietnam berjaya menewaskan
Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 2-0 di Hanoi, Indonesia pula mengalahkan Bahrain
2-1 di Jakarta manakala Thailand seri 1-1 dengan Iraq di Bangkok.
Redzuan berkata, kekalahan
berpunca daripada kegagalan pemain kebangsaan bermain mantap sebagaimana
ditunjukkan skuad Vietnam, Indonesia dan Thailand.
Beliau berkata, sepanjang 90
minit permainan, memang cukup jelas corak permainan skuad kebangsaan tidak
begitu menggalakkan.
Mereka tidak bermain agresif
malah tidak beraksi dengan penuh yakin. Saya tidak dapat terima kekalahan terlalu
besar itu. Kita sepatutnya seri, katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari
ini.
Redzuan menambah, jentera
serangan skuad kebangsaan jelas tumpul dan sandaran hanya kepada seorang pemain
di bahagian itu adalah satu kesilapan yang tidak patut berlaku.
Kita terlalu berharap ke atas
seorang penyerang dan peluang untuk mencipta jaringan lebih banyak adalah
sukar, mujurlah jaringan Indra Putra dapat mengurangkan defisit gol, katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan
Negara, Senator Datuk Kamaruddin Ambok hairan dengan prestasi skuad negara yang
kadangkala amat memberangsangkan dan secara tiba-tiba merosot pula.
Apa yang sebenarnya pemain
kebangsaan mahukan. Kita kena tanya mereka, sebab hanya mereka sahaja yang tahu
masalah sebenar, katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Menurut Kamaruddin, kekalahan
tersebut mungkin berpunca daripada pemain kebangsaan sendiri yang tidak bermain
bersungguh-sungguh kerana risau ditimpa kecederaan.
Adakah kemungkinan mereka
risau ditimpa kecederaan dan kecederaan itu akan membawa penyakit kepada mereka
ketika hari tua.
Apakah mereka mengharapkan
insentif tinggi seperti pemain Eropah yang menjadi jutawan hanya dengan bermain
bola, katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm#ixzz4uRhGjdoJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan