ARKIB : 20/10/2007
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR Tonggak skuad
negara, Indra Putra Mahayuddin (gambar) mengalu- alukan pemberian posisi
lamanya, sayap kiri oleh jurulatih B. Sathianathan menjelang perlawanan
pusingan pertama bola sepak kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain, esok.
Pemain Selangor bagi musim
depan ini juga mengakui tidak bermasalah menyesuaikan diri selepas sekian lama
bertindak sebagai penyerang utama dalam Liga Malaysia mahupun pertandingan
antarabangsa.
Itu posisi lama saya yang
ditinggalkan sejak 2003. Seingat saya kali terakhir saya bermain sebagai sayap
kiri Malaysia ialah dalam Sukan SEA Vietnam. Dalam Piala Asia (di Kuala Lumpur,
Julai lalu) pun masih sebagai penyerang.
Cuma di Perth (dalam siri
perlawanan persahabatan dengan empat kelab, baru-baru ini), jurulatih
mengembalikan saya ke sayap kiri walaupun saya memang lebih menggemari posisi
penyerang, katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun, pemain kelahiran Perak
dan baru meninggalkan Pahang selepas tiga musim ini, hanya dapat diturunkan
selama 30 minit dalam perlawanan terakhir menentang Floreat Athena gara-gara
kecederaan lama buku lali kanannya berulang.
Sakitnya sudah tiada. Saya
rasa lebih sihat sekarang dan bertekad memberikan yang terbaik buat Malaysia
apabila menentang Bahrain (di Stadium Kebangsaan, Manama), kata penjaring gol
tunggal negara ketika kalah 3-1 kepada lawan
dalam Kelayakan Piala Asia
2003.
Indra cukup menyerlah sebagai
sayap kiri ketika membantu Malaysia menewaskan Thailand 3-1 dan Singapura 4-0
dalam Piala Tiger 2002, malah dia sempat menjaringkan gol tunggal biarpun
Malaysia dibelasah China 5-1 dalam Piala Asia.
Sathianathan masih menaruh
keyakinan kepada gandingan penyerang muda, Safee Sali dan Zaquan Adha Radzak
yang semakin menyengat apabila membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka,
Ogos lalu dan siri persahabatan di Perth.
Sementara itu, ketua pasukan
negara, Norhafiz Zamani Misbah berkata, mereka perlu menyekat dan mencegah
sebarang usaha Bahrain untuk mengumpan bola tinggi ke kotak penalti kerana tuan
rumah memiliki ramai pemain tinggi lampai dan bertubuh besar.
Malaysia turut memiliki dua
pemain yang mampu menandingi ketinggian pemain Bahrain seperti penjaga gol,
Syed Adney Syed Hussein dan pemain tengah, K. Nanthakumar sekiranya serangan
tuan rumah banyak bertumpu kepada umpanan lambung dan lintang di udara.
Saya percayakan semangat
sepasukan kita yang tinggi untuk mengekang lawan. Kita juga ada pemain muda
yang mampu bergerak pantas seperti Khyril Muhymeen Zambri dan Amirulhadi Zainal
yang mampu menyukarkan mereka, kata bek tengah kelahiran Melaka ini.
Cuma Norhafiz dan rakan
seposisi, Aidil Zafuan Radzak, Indra dan Safee serta Nanthakumar yang pernah
berpengalaman luas antarabangsa dan beraksi dalam Piala Asia manakala
kebanyakan rakan lain cuma membarisi skuad bawah 23 tahun negara.
Mereka bagaimanapun
bergandingan dengan baik untuk mengakhiri kemarau kejuaraan Pestabola selama 14
tahun, Ogos lalu biarpun kali ini terpaksa melupakan khidmat ketua pasukan
asal, Shukor Adan kerana kecederaan ketika menentang Singapura dalam separuh
akhir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vjpNCVVr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan