ARKIB : 21/11/2007
PETALING JAYA Sindiran sinis
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Azalina Othman Said nyata tidak
melemahkan semangat skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun negara untuk
merealisasikan impian membawa pulang pingat dari Korat, bulan depan.
Malah bagi jurulatih negara, B.
Sathianathan, itu adalah cabaran getir kepada beliau serta anak didiknya untuk
mempamerkan aksi paling mantap dengan sasaran mara ke perlawanan akhir acara
bola sepak lelaki di Sukan SEA nanti.
Ia adalah satu cabaran dan
saya cukup bersedia serta berkerja keras ke arah itu. Kami memang berazam
membawa pulang pingat, ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui selepas Azalina mengadakan pertemuan singkat dengan skuad bola sepak
dan futsal lelaki serta wanita di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Bagi jurulatih itu ketegasan
yang diluahkan oleh Azalina sedikit sebanyak menjadi pembakar semangat
kepadanya dan barisan pemain untuk membuktikan mereka bukan lagi mudah untuk
diperlekehkan.
Saya tidak risaukan lawan
pada Sukan SEA sebaliknya saya lebih bimbangkan pemain saya, ujarnya ringkas.
Sathianathan berkata, walaupun
persiapan rapi berjalan lancar apa yang menjadi kebimbangan utamanya ialah jika
komitmen dan semangat pemain longlai sebelum bertarung.
Saya harap ini tidak terjadi
kerana saya percaya kepada kesungguhan dan semangat pemain yang inginkan kita
mara ke akhir selain menyumbang pingat untuk kontinjen negara, tegasnya.
Pada Sukan SEA nanti skuad bola
sepak lelaki negara akan membuka tirai dengan menentang Vietnam (1 Disember)
diikuti Laos (3 Disember) dan Singapura pada 8 Disember.
Mengulas mengenai tiga
pertemuan itu beliau menganggap kesemua lawan tidak harus dipandang ringan.
Mengenai keupayaan Vietnam kata
Sathianathan, mereka mempunyai kekuatan tersendiri tetapi ia tidak mendatangkan
masalah kepada pemainnya untuk menyaingi mereka.
Ia penting dan kita tidak
boleh kalah. Jika menang harapan ke separuh akhir dan mengelak pertemuan awal
dengan Thailand sudah pasti cerah, ujarnya.
Beliau mahu barisan pemainnya
dapat bermain dengan corak seperti biasa.
Atas kertas, keupayaan
Vietnam dan Singapura adalah sama dengan kita.
Cuma yang membimbangkan saya
jika pemain alpa dan banyak membuat kesilapan. Jika kesilapan kecil dapat
dielakkan rasanya kita mampu untuk melangkah lebih jauh, ujarnya lagi
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vqFkzFCA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan