Sabtu, 14 Oktober 2017

Malaysia ke separuh akhir


ARKIB : 26/08/2007
Oleh: AMRAN MULUP
  
MOHD. Shukor Adan (dua dari kanan) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama pada perlawanan peringkat Kumpulan A Pesta Bola Merdeka 2007 di Stadium MBPJ, semalam.

PETALING JAYA – Aksi paling mantap lagi menarik mewarnai persembahan barisan muda skuad kebangsaan untuk melangkah dengan bergaya ke separuh akhir selepas membelasah wakil dari Afrika, Lesotho 4-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan A pada Kejohanan Pesta Bola Merdeka Edisi ke-39 di Stadium MBPJ, semalam.

Kemenangan yang dicari menjadi realiti buat anak didik B. Sathianathan mempamerkan penguasaan menarik menenggelamkan kehebatan skil individu Lesotho dengan empat gol menerusi Mohd. Shukor Adan (m-44), Mohd. Khyril Muhymeen (m-47), Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak (m-50) dan Norshahrul Idlan Talaha (m-59).

Kejayaan itu membolehkan Malaysia muncul selaku naib juara daripada Kumpulan A di belakang juara kumpulan, Myanmar yang menewaskan Laos 1-0 dalam perlawanan lain di Stadium Shah Alam.

Kemaraan itu bagaimanapun akan menemukan Malaysia dengan seteru utama, Singapura dalam saingan separuh akhir yang dijangka paling menarik berlangsung di Stadium Shah Alam, malam esok.

Singapura muncul juara Kumpulan A selepas menewaskan Indonesia 2-0 dalam perlawanan terdahulu untuk mengekalkan rekod tanpa kalah bagi mengutip sembilan mata.

Dalam saingan separuh akhir yang lain pula, penyandang juara Myanmar turut mengekalkan rekod tanpa kalah untuk muncul juara Kumpulan B dan akan berdepan Zimbabwe selaku naib juara Kumpulan B.

Zimbabwe pula melangkah ke separuh akhir dengan bergaya walaupun sekadar menang tipis 2-1 ke atas Bangladesh.

Malam penuh bermakna walaupun disaksikan hanya 3,000 penyokong melihat aksi paling ampuh barisan muda negara yang akan membuat penampilan di Sukan Sea Korat Disember ini.

Di sebalik tunduk 1-2 kepada Myanmar dalam perlawanan kedua, peluang seakan sudah tertutup ketika Lesotho menunjukkan peningkatan namun aksi anak didik Sathianathan jauh berbeza daripada sebelumnya.

Tempoh 11 minit babak pertama berlangsung menyaksikan penguasaan skuad kebangsaan bagaikan ‘singa lapar’ mencari gol pendahuluan.

Beberapa percubaan bagaimanapun tidak menemui sasaran.

Namun gol pendahuluan yang dicari jelas memihak kepada skuad kebangsaan pada minit-minit terakhir sebelum rehat.

Bermula daripada sepakan sudut Norshahrul Idlan Talaha terus ke depan pintu gol lawan dan Mohd. Shukor melonjakkan diri untuk menanduk masuk menewaskan Phasumane menggamatkan seketika Stadium MBPJ.

Dua minit babak kedua bermula Malaysia menggegarkan lagi stadium apabila lorongan Samransak disudahkan dengan tandukan cantik Mohd. Khyril.

Pada minit ke-50 gol ketiga Malaysia menyusul dengan giliran Mohd. Zaquan membuat larian solo menewaskan seorang pertahanan Lesotho sebelum menolak ke sebelah kanan menewaskan Phasumane.

Gol keempat kemudiannya meranapkan terus harapan Lesotho hadir di minit ke-59 menerusi Norshahrul Idlan Talaha.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vRQUcolH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan