Isnin, 2 Oktober 2017

Skuad negara dilayan macam ‘anak tiri’



ARKIB : 08/07/2007

PETALING JAYA – Walaupun menjadi tuan rumah, skuad kebangsaan diperlakukan seperti orang asing di bumi sendiri ketika mahu menjalani latihan, semalam menjelang perlawanan pertama pusingan akhir bola sepak Piala Asia di sini.

Demi mematuhi arahan tegas pegawai tertentu Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), skuad bimbingan Norizan Bakar terpaksa membazirkan masa latihan sebenar ke tempoh perjalanan yang sia-sia termasuk kesesakan jalan raya dari hotel penginapan ke Stadium Petaling Jaya.

Malah disebabkan masalah komunikasi antara AFC dengan pengurusan Stadium Petaling Jaya yang tiba-tiba menutupnya, skuad negara terpaksa melupakan penggunaannya dan mengalih sesi semalam ke Wisma FAM, Kelana Jaya pada saat-saat akhir.

Keresahan

Skuad negara juga terpaksa melupakan majlis makan malam meraikan pasukan Piala Asia, malam ini dan berlatih di Stadium Nasional, Bukit Jalil kerana cuma sesi itu yang dibenarkan oleh AFC sebelum menentang China dalam perlawanan pertama Kumpulan C, Selasa ini.

Sementara itu, penjaga gol utama, Azizon Kadir (gambar) mencetuskan sedikit keresahan kem negara apabila terpaksa meninggalkan sesi latihan selepas hanya 20 minit gara-gara kecederaan buku lali biarpun dikatakan agak ringan.

Turut dikecualikan daripada sesi itu ialah pemain tengah, Shukor Adan yang mengalami kecederaan buku lali sejak kelmarin tetapi kata Norizan, “keadaan mereka berdua masih dipantau oleh doktor pasukan dan mungkin hanya kecederaan ringan.”

Tanpa Shukor, Norizan cuba menguji gandingan K. Nantha Kumar dan Fadzli Saari sebagai pemain tengah kesebelasan utama manakala Norhafiz Zamani Misbah kembali berlatih sebagai bek tengah dengan ketua pasukan Kironnisam Sahabuddin Hussain.

Dalam tiga perlawanan persahabatan bulan lalu, Nantha diturunkan sebagai bek tengah untuk berpasangan dengan Kaironnisam manakala Norhafiz mengambil alih posisi asal pemain tinggi lampai Perak itu bersama-sama Shukor.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4uMWWNBDW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan