Selasa, 3 Oktober 2017

Muktamad – Tengku Abdullah

ARKIB : 17/07/2007

KUANTAN – “Muktamad setakat ini, jangan pujuk-pujuk... saya tak mahu berdrama, pergi dan balik sebab ini kali ketiga dah (letak jawatan),” begitulah luahan hati Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada pemberita ketika ditanya mengenai keputusannya yang meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuatkuasa, kelmarin.

Beliau berkata, apa yang lebih penting kini ialah FAM perlu segera mencari pengganti yang benar-benar layak mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkannya.

‘‘Bagi saya masa untuk bersendirian, saya tak nak cakap pasal bola... kalau nak tengak saya main bola mungkin, dengan anak saya,” katanya berseloroh.

Tengku Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Pahang, di sini, semalam.

Tengku Abdullah secara rasmi meletakkan semua jawatan dalam badan induk itu berkuatkuasa kelmarin selepas 15 tahun menjawat jawatan Timbalan Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM.

Walaupun telah meletakkan jawatan, Tengku Abdullah turut menyuarakan kesediaannya memberi sumbangan kepada sukan bola sepak tempatan sekiranya masih diperlukan.

“Kalau perlu saya boleh bagi sumbangan, saya bersedia membimbing setakat mana yang boleh.

“Tapi kalau boleh saya tak nak komen apa-apa cukuplah, lagipun saya dah lama sangat (dengan FAM) dari umur 22 atau 23 tahun, dah sampai masa muka baru pula mengganti saya” ujarnya.

Menurut Tengku Abdullah, peletakan jawatannya itu sama sekali tidak bersangkut-paut dengan kekalahan memalukan pasukan kebangsaan dalam kejohanan Piala Asia yang sedang berlangsung.

Katanya, sudah tiba masa untuknya berundur dan hasrat tersebut telah dinyatakan sejak tahun lepas lagi.

Ketika ditanya mengapa peletakan jawatan itu dilakukan sewaktu Piala Asia sedang berlangsung, Tengku Abdullah sambil bergurau berkata: “Saya tak sabar dah nak letak jawatan, nak rehatlah pulak.”

Tengku Abdullah juga berkata amat memahami pandangan dan kritikan yang dilontarkan oleh penyokong dan media kepada FAM selama ini.

“Terima kasih banyak kepada semua dan menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan (Sultan Ahmad Shah) dan pihak media yang mengkritik,” tegasnya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4uSPUG8D2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan