Jumaat, 13 Oktober 2017

Azraai sedia bimbing skuad kebangsaan tetapi bersyarat



ARKIB : 21/08/2007 
ALOR STAR – Jurulatih skuad Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah menyatakan kesediaan menggalas tanggungjawab membimbing skuad kebangsaan jika diberi kepercayaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengisi kekosongan jawatan itu yang ditinggalkan oleh Norizan Bakar.

Bagaimanapun, kata jurulatih itu, jika tugas berkenaan diberikan sekarang, dia mungkin terpaksa menolaknya kerana komitmennya kini tertumpu kepada pasukan negeri yang sedang bersaing di separuh akhir Piala Malaysia.

Ini kerana, katanya, dalam situasi sekarang, pemain-pemainnya memerlukan perhatian dan sebarang pertukaran jurulatih dalam tempoh terdekat boleh menyebabkan persembahan dan percaturan skuad Sang Kenari terjejas.

``Saya tiada masalah (untuk menjadi ketua jurulatih baru) jika diberi kepercayaan. Tetapi buat masa sekarang, keadaan tidak mengizinkan kerana saya perlu memberi tumpuan kepada pasukan negeri. Itulah keutamaan saya kini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia

di sini, semalam.

Mohd. Azraai merupakan antara calon utama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan ketua jurulatih bola sepak negara bagi menghadapi pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia selepas khidmat Norizan ditamatkan bulan lalu.

Kecemerlangan jurulatih itu dapat diukur menerusi prestasinya dalam saingan liga domestik pada musim ini apabila berjaya menerajui Kedah menjulang Piala FA dan kejuaraan Liga Super sambil memburu Piala Malaysia pula.

Keupayaannya membimbing skuad muda Kedah mengungguli saingan liga utama selepas muncul juara Liga Perdana musim lalu menjadikannya calon terbaik untuk menyandang jawatan 'kerusi panas' itu.

Kelmarin, FAM terpaksa menangguhkan pengumuman ketua jurulatih baru skuad kebangsaan bagi membolehkannya menemuduga dua calon yang disenarai pendek terlebih dahulu dalam tempoh terdekat ini.

Seorang lagi calon yang dikatakan turut mendapat perhatian FAM untuk menyandang jawatan tersebut ialah jurulatih Selangor, Dollah Salleh.

Menurut Mohd. Azraai yang mengakui menerima panggilan daripada FAM berhubung pemilihan jawatan berkenaan, dia sedia memikul amanah membimbing skuad negara jika keadaan mengizinkan.

Katanya, meskipun mengetahui tugas berkenaan adalah amat berat dan banyak tekanan daripada pelbagai pihak termasuk peminat bola sepak tempatan, dia bersedia melakukan yang terbaik jika dipilih.

Sementara itu, dalam perkembangan saingan Piala Malaysia, Mohd. Azraai berkata, persiapan skuad Hijau Kuning sedikit terjejas selepas berehat dua minggu bagi memberi laluan kepada Pesta Bola Merdeka ke-39 yang bermula hari ini.

Katanya, ketiadaan tiga tonggak iaitu Khyril Muhymeen Zambri, V. Thirumurugan dan Saramsak Kram yang turut terpilih menyertai kejohanan tersebut menyukarkannya membuat persiapan seratus peratus menjelang perlawanan separuh akhir menentang Terengganu di Stadium Sultan Nasiruddin Shah pada 1 September ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vOxWLe00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan