Isnin, 16 Oktober 2017

7 pemain dikecualikan SPM



ARKIB : 02/10/2007

PUTRAJAYA - Kementerian Pelajaran semalam membenarkan tujuh pelajar menyertai pusingan kelayakan Kejohanan Bola Sepak Bawah 19 Tahun Asia di Luizhou City, China dari 6 sehingga 18 November ini walaupun bertembung dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya mereka duduki.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana pihak kementerian bersetuju untuk menggunakan kaedah Agrotat iaitu tujuh pelajar terbabit tidak perlu menduduki SPM tetapi tetap memperoleh sijil berkenaan.

Beliau berkata, melalui kaedah itu, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan menilai pencapaian akademik tujuh pelajar terbabit berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada sumber lain.

Katanya, sumber lain ialah pencapaian mereka dalam peperiksaan awam yang diduduki sebelum ini, keputusan peperiksaan percubaan SPM yang dikendalikan sekolah dan Ujian Kebolehan Am yang akan dilaksanakan oleh LPM selepas mereka menamatkan kejohanan itu

``Kaedah ini telah diamalkan oleh LPM sebelum ini untuk kes-kes khas seperti ini,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Badan peperiksaan terkenal di dunia seperti New Zealand Qualification Authority (NZQA), Scottish Qualification Authority (SQA), Assessment and Qualification Allience (AQA), Oxford, Cambridge and Royal School of Arts (OCR) dan Edexcel International turut mengamalkan kaedah yang sedemikian.

Sebelum ini, skuad bola sepak kebangsaan bawah 19 tahun sah menarik diri daripada menyertai kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang dijadualkan berlangsung di China pada 6 hingga 18 November depan.

Ini kerana tujuh pemain utama skuad yang dikendalikan oleh K. Rajagopal itu akan menduduki peperiksaan SPM yang dijadualkan bermula 12 November ini.

Hishammuddin memberitahu, beliau melihat penyertaan pelajar merupakan satu kebanggaan kepada kementerian kerana sukan ada agenda serta maruah negara.

Beliau berkata, penyertaan mereka adalah sejajar dengan Pelan Pembangunan Sukan Prestasi Tinggi Sekolah yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan pada 31 Julai lalu.

Pada 27 September lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan skuad Bawah 19 Tahun bimbingan K. Rajagopal itu akan tetap beraksi pada pusingan kelayakan Kejohanan Bawah 19 Tahun Asia di China dari 6 hingga 18 November ini.

Bagi Kelayakan Bawah 19 Tahun Asia, Malaysia diundi dalam Kumpulan F dengan China, Korea Selatan, Macau, Timor Leste dan Singapura.

Beberapa hari sebelumnya, FAM menyatakan hasrat untuk menarik diri kerana terpaksa melupakan khidmat lapan pemain terasnya yang akan menduduki SPM.

Mereka ialah Shafizal Hafizzie, Yusairi Che Saad, Mohd. Syahid Zaidan, Mohd Nazrin Baharuddin, K. Sarthya, G. Gurusamy, Ahmad Aminuddin Saharuddin dan Bashrul Abu Bakar.

Kejohanan itu pada mulanya dijadualkan dari 31 Oktober hingga 11 November manakala SPM akan bermula pada 12 November. Ia dipinda kerana Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) gagal memperoleh pegawai perlawanan pada tarikh asal.

Anak didik Rajagopal sebelum ini merakamkan pencapaian mara ke separuh akhir Kejohanan Bawah 21 Tahun ASEAN Piala Hassanal Bolkiah di Brunei, Mac lalu dan muncul naib juara Kejohanan Bawah 19 Tahun Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Ogos lalu

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vg86sNau
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan