Sabtu, 14 Oktober 2017

Najib bangga kejayaan skuad B23 juara Pestabola Merdeka



ARKIB : 31/08/2007

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bangga dengan kejayaan skuad Bawah 23 Tahun negara muncul juara Pestabola Merdeka Edisi ke-39 selepas menundukkan Myanmar 3-1 pada perlawanan akhir, kelmarin.

Beliau berharap kemenangan tersebut mencerminkan peningkatan dalam mutu bola sepak tanah air dan akan membawa kepada kejayaan yang lebih besar masa akan datang.

Tambah beliau, ia mampu meletakkan Malaysia pada tahap lebih baik dalam carta kedudukan pasukan bola sepak dunia.

‘‘Kita mahu kemenangan semalam membawa kepada kejayaan dalam kejohanan-kejohanan lebih berdaya saing seperti Sukan Asia, Sukan Olimpik malahan Piala Dunia,’’ katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Sukan kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah Pingat Jasa Malaysia kepada veteran perang United Kingdom, Australia dan New Zealand di sini, semalam.

Kemenangan Malaysia menewaskan penyandang juara, Myanmar pada perlawanan akhir, kelmarin menamatkan kemarau kejayaan 14 tahun bola sepak negara.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka ialah pada tahun 1993 dengan menewaskan Korea Selatan B, juga dengan jaringan 3-1.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vY8YgDMt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan